KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jalan Rock, Bampfylde menjemput Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi memeriahkan Program Walkabout Mesra Masyarakat 2.0, semalam.
Program tersebut susulan kejayaan penganjurannya sebelum ini dan sesi lawatan di kawasan Jalan Crookshank, Kim San Court serta sebahagian Jalan Bampfylde dan Laman Sunvalley turut diadakan.

Menurut Pengerusi JKKK Jalan Rock, Bampfylde, Kapitan Fong Yee Chee, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan di kawasan tersebut.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Ahli Majlis yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kaunselor Nicholas Wung Duk Ying, DBKU dan PDRM dalam memastikan kesejahteraan di kawasan ini terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, program ini mencatatkan kejayaan yang membanggakan dengan pelibatan ramai pihak.

Tambah Fong Yee, pihak JKKK Jalan Rock, Bampfylde turut menzahirkan penghargaan kepada semua penduduk yang terlibat dan berharap lebih banyak program dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Sehubungan itu, penduduk terlibat menunjukkan lokasi yang memerlukan perhatian dan membangkitkan isu serta kebimbangan setempat.
Pelibatan ini mencerminkan komitmen komuniti dalam usaha memperbaiki persekitaran kejiranan mereka.
Sepanjang program itu, pihak DBKU mencatat isu infrastruktur dan perkara yang memerlukan penambahbaikan untuk tindakan susulan.
Justeru, melalui program tersebut, diharapkan ia dapat mewujudkan kejiranan yang lebih selamat dan sejahtera.


