KUANTAN, Pahang: Kerjasama dua hala antara Sarawak dengan Pahang akan terus diperkukuh melalui pelbagai perancangan dan agenda baharu.
Perkara ini dijelaskan menerusi lawatan rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, ke Pahang baru-baru ini.
Menurut hantaran Astana Negeri, lawatan ini sarat dengan acara-acara penting yang mencerminkan keharmonian dan kerjasama erat kedua-dua negeri.
Pada 10 Februari (semalam), Tun Wan Junaidi dan isteri telah menghadiri Majlis Santapan Malam yang gilang-gemilang di Meranti Ballroom, Hyatt Regency Resort.

Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, bersama isteri, Datin Sri Diraja Hajah Burhah Mohamad, serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis Budaya Kesenian Negeri Pahang turut memeriahkan majlis, dengan mempamerkan keindahan warisan negeri.
Hari ini, Tun Wan Junaidi bersama isteri turut meluangkan masa menikmati sarapan pagi di Kuantan Pickers, sebuah kedai kopi tempatan yang terkenal di bandar Kuantan.
Kedatangan mereka disambut mesra oleh pemilik kedai, Nazrul Zubir dan Azry Abu Bakar, serta kakitangan.
Kedai yang beroperasi sejak 2018 ini terkenal dengan hidangan seperti kacang pool, nasi lemak, nasi dagang, roti bakar, serta aneka kuih-muih tradisional, selain konsepnya yang unik dengan pelbagai koleksi barangan antik.
Kemudian, Tun Wan Junaidi dan isteri diperkenankan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Tengku Mahkota Pahang dan kerabat diraja yang lain, serta Menteri Besar Pahang.
Pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut, termasuk hal ehwal semasa serta potensi kerjasama dua hala antara kedua-dua negeri.
Kunjungan berlangsung selama satu jam, dan diakhiri dengan Majlis Santapan Tengah Hari dalam suasana santai.
Lawatan rasmi ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan erat antara Negeri Sarawak dengan Negeri Pahang, serta membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik demi manfaat bersama.
TAMAT
SEO keywords: kerjasama Sarawak-Pahang, Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tun Wan Junaidi, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Kuantan Pickers, kacang pool

