KUCHING: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk membolehkan wanita menyerlah dalam bidang kepimpinan, sosial dan ekonomi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, JWKS memberi tumpuan kepada program pemerkasaan wanita, kesedaran dan advokasi, pengukuhan institusi keluarga serta kesaksamaan gender.
Katanya, mereka turut menyokong pemerkasaan ekonomi wanita, pembangunan kapasiti, akses kepada teknologi serta pembangunan keluarga secara holistik sekali gus mengalu-alukan pertukaran ilmu dan kerjasama dengan organisasi seperti PWDC untuk memperkukuh inisiatif sedia ada.
“Justeru, kami berharap dapat meneroka kerjasama strategik dengan PWDC — khususnya dalam modul latihan kepimpinan, pertukaran bimbingan (mentorship) serta program pemerkasaan komuniti,” katanya pada mesyuarat bersama PWDC di Pulau Pinang, hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, pendekatan seperti ini juga dapat menggerakkan kemajuan negara melalui usaha pemerkasaan di peringkat serantau.
Fatimah juga menyatakan bahawa beliau amat terinspirasi melihat usaha berimpak tinggi PWDC dalam memperkasa kepimpinan wanita, pembangunan kapasiti serta pemerkasaan wanita.

