ARTIKEL

Datuk Len Talif Salleh bersama Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili, dan Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli, melihat model pembangunan di Majlis Daerah Sarikei.

Kerjasama strategik percepat pelaksanaan projek pembangunan Sarikei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Kerjasama strategik antara pelbagai agensi kerajaan menjadi faktor utama dalam memastikan projek pembangunan di Bahagian Sarikei dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap dan mengikut perancangan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Datuk Len Talif Salleh berkata, kerjasama erat melibatkan Pejabat Residen Sarikei, Majlis Daerah Sarikei (MDS), Lembaga Kemajuan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta Jabatan Tanah dan Survei memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan semua projek yang diluluskan di bawah RADDA dan agensi kerajaan lain.
Katanya, penyelarasan itu penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, selain mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan manfaat kepada rakyat.

“Pelaksanaan projek pembangunan ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos bahan binaan, kekangan kewangan kontraktor, gangguan rantaian bekalan bahan mentah serta kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan.

“Semua cabaran ini memerlukan kerjasama yang lebih rapat antara agensi pelaksana supaya setiap isu dapat dikenal pasti lebih awal dan diselesaikan secara bersama tanpa menjejaskan jadual pelaksanaan projek,” katanya ketika mengulas hasil perbincangan bersama agensi berkaitan mengenai penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan di sini, semalam.

Len Talif berkata, pendekatan yang dipersetujui itu turut memberi penekanan kepada penyelarasan projek RADDA dengan pembangunan infrastruktur lain yang sedang dan akan dilaksanakan di sekitar bandar Sarikei bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh.

Katanya, antara projek utama yang menjadi pemangkin pembangunan ialah pembinaan jalan yang menghubungkan Kerubong ke Sarikei, laluan Merudu ke Taman Susur Jambu serta pembinaan jalan baharu, termasuk laluan pintasan (bypass), yang dirancang bagi meningkatkan sistem jaringan pengangkutan di kawasan tersebut.

“Pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penduduk di Bahagian Sarikei, malah menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan bandar yang lebih mampan pada masa hadapan.

“Perancangan jangka panjang ini juga akan memastikan pembangunan Bahagian Sarikei bergerak seiring dengan kawasan lain di Sarawak seperti Sibu, Betong, Mukah dan Kapit, sekali gus mewujudkan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan saling melengkapi,” tambahnya.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan