KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menyuarakan keperluan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak supaya proses kelulusan cadangan berkenaan dapat dibawa ke Parlimen untuk tindakan selanjutnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata beliau bersama Setiausaha Agung GPS yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet kira-kira dua minggu lalu supaya kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap proses penambahan kerusi DUN Sarawak.
Jelasnya, cadangan berkenaan sebelum ini sudah melalui proses kajian dan diluluskan di peringkat DUN Sarawak, namun proses di peringkat Persekutuan masih perlu diselesaikan sebelum penambahan kerusi itu dapat dilaksanakan.
“Pada mesyuarat Kabinet dua minggu lalu, saya bersama Datuk Seri Alexander menyuarakan perkara ini kerana kita tahu prosesnya sudah dijalankan dan Sarawak juga sudah meluluskannya di DUN.
“Oleh sebab belum ada perkembangan yang kita mahu lihat di peringkat Persekutuan, kami menyuarakannya dalam Kabinet supaya perkara ini dapat dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Kemahiran Quick Win Masakan Pastri RMKe-13 di Kolej Komuniti Santubong, di sini, hari ini.
Tambah Nancy, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan badan rasmi yang bertanggungjawab menjalankan proses berkaitan persempadanan dan penambahan kerusi berkenaan, termasuk mempamerkan syor untuk membolehkan pihak berkepentingan mengemukakan bantahan mengikut proses ditetapkan.
“Yang penting, kita tidak berdiam diri.
“Kita pastikan kita terus menyuarakan hak Sarawak kerana bayangkan Sarawak merupakan kawasan yang begitu besar, hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia.
“Dengan jumlah kerusi yang ada sekarang, tidak begitu mudah untuk kita membangunkan negeri.
“Sebab itu kita memerlukan lebih banyak kawasan supaya wakil rakyat dapat membantu pembangunan kawasan masing-masing dengan lebih berkesan,” tegasnya.
Jelasnya lagi, cadangan yang sedang diperkatakan itu membabitkan penambahan kerusi DUN, bukannya kerusi Parlimen.
Menurutnya, Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN dan 31 kerusi Parlimen, justeru penambahan kerusi DUN penting bagi memperkukuh keupayaan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Ini bukan kerusi Parlimen, tetapi kerusi DUN.
“Namun, ia akan membantu Parlimen dan DUN menjalankan tugas dengan lebih baik,” katanya.
Mengulas kemungkinan cadangan kerusi baharu membabitkan kawasan Parlimen Santubong, Nancy mengakui syor berkenaan sememangnya mempunyai kaitan dengan kawasan P193 Santubong, namun terdapat perubahan terhadap sempadan beberapa kawasan DUN.
“Kalau saya lihat daripada cadangan kerusi-kerusi itu, memang ia melibatkan P193 juga, tetapi ada kawasan DUN yang ditukar,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung surat bertarikh 25 Jun 2026 di mana SPR telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyediakan ruang untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak yang dijangka meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.
SPR dalam surat tersebut merancang memasang papan pameran di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah di 31 kawasan Parlimen di seluruh Sarawak.
Pameran itu bertujuan memaparkan secara fizikal draf pelan dan pelan warta persempadanan bagi Kajian Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-7 mengikut tempoh yang akan ditetapkan oleh SPR.
Surat tersebut turut disertakan lampiran yang mengandungi cadangan kerusi baharu serta nama baharu bagi beberapa kawasan pilihan raya.
Antara kerusi baharu yang dicadangkan ialah Serayan, Jagoi dan Singai di bawah Parlimen Mas Gading; Pasir Pandak (Santubong); Matang dan Semarak (Petra Jaya); Maong (Stampin); Tabuan Jaya (Bandar Kuching); Samarindah (Kota Samarahan); Sungai Serin dan Bung Sadong (Puncak Borneo); Muara Lassa (Tanjung Manis); Tanah Mas (Lanang); Sungai Merah, Bukit Kemuyang dan Rasau (Sibu); Melekun (Kapit); Jepak Jaya dan Batu Niah (Bintulu); Bukit Beraya (Sibuti); Permaisuri, Tudan dan Lopeng (Miri); Usun Apau (Baram); Gunung Murud (Lawas); serta Matu dan Igan di bawah Parlimen Batang Lassa yang dicadangkan sebagai nama baharu bagi Parlimen Igan.
Pameran awam itu bertujuan memberi peluang kepada pengundi, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri meneliti cadangan perubahan sempadan pilihan raya sebelum mengemukakan bantahan atau maklum balas secara rasmi.



