KUCHING: Wanita yang berdepan kehamilan tidak dirancang atau krisis keluarga perlu tampil mendapatkan bantuan bagi mengelakkan keselamatan diri dan bayi terancam, susulan penemuan bayi lelaki yang masih bernyawa tertimbus di dalam tanah di Kapit semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata wanita atau ibu yang berdepan situasi sukar tidak seharusnya menghadapi krisis seorang diri sehingga takut mendapatkan pertolongan.
Beliau berkata, bantuan boleh diperoleh menerusi Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di peringkat bahagian.
“Namun, saya ingin menegaskan bahawa mendapatkan bantuan ialah pilihan yang sentiasa lebih baik daripada menghadapi krisis seorang diri sehingga keselamatan ibu atau bayi terancam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Fatimah berkata, usaha pencegahan juga perlu diperkukuh menerusi OSTPC, yang antara objektifnya mengurangkan kehamilan remaja dan kes pembuangan bayi.
Beliau berkata, kes kehamilan remaja di Sarawak menurun daripada 3,401 pada 2014 kepada 1,770 pada 2025, iaitu pengurangan 43 peratus.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai kejadian berkenaan sebelum pihak berkuasa menyelesaikan siasatan.
Beliau turut menggesa keluarga dan masyarakat supaya memberikan sokongan kepada wanita yang berdepan krisis, bukannya menghukum atau memalukan mereka sehingga takut mendapatkan bantuan.
Orang ramai yang mengetahui atau mengesyaki bayi atau kanak-kanak berada dalam bahaya diminta segera melaporkannya kepada polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.
Semalam, seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemukan tertimbus di dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport di Kapit.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu berkata, bayi yang baharu dilahirkan itu ditemukan anggota polis selepas terdengar tangisannya ketika menjalankan pencarian di lokasi berkenaan.
Polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 2.30 petang semalam.
Rohana berkata, bayi yang berada dalam keadaan kritikal itu dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan ibunya juga sudah dikenal pasti namun siasatan belum dilakukan kerana dia sedang dirawat.
-tamat-




