Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 3,969 kes pada Minggu Epidemiologi ke-05 (ME05) 2024 iaitu bagi tempoh 28 Jan 2024 hingga 3 Feb 2024 berbanding 3,781 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan.
Dari segi bilangan lokaliti kawasan panas tumpuan, beliau berkata jumlahnya meningkat kepada 180 berbanding 148 pada minggu sebelumnya, dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor 143 lokaliti, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (20), Negeri Sembilan (tujuh), Perak (empat), Pulau Pinang (tiga) dan masing-masing satu lokaliti di Pahang, Sabah dan Sarawak.






