Kes kanser meningkat setiap tahun

KUCHING: Sebanyak 380 kes baharu kanser payudara setiap tahun dicatat Hospital Umum Sarawak diikuti kanser usus 350 kes dan kanser paru-paru 230 kes. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian berkata, angka itu mendorong kepada peningkatan jumlah kematian disebabkan kanser.

“Kanser boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan pencegahan peringkat awal amat perlu,” katanya pada Larian Amal Kesedaran Kanser Bubble Rush edisi ketiga yang disertai 2,000 peserta di Pusat Perubatan KPJ Kuching, BDC semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif KPJ Kuching Roslan Ahmad, Pengarah Perubatan Dr David Ling Sheng Tee dan Pengurus Besar KPJ Kuching, Nurhazimah Mahat. Kui Hian menjelaskan, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 pelancongan kesihatan adalah antara teras utamanya.

Justeru katanya, Sarawak terutamanya di Kuching dan Miri mempunyai fasiliti perubatan swasta terbaik dan ramai pesakit luar datang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Selain daripada memiliki fasiliti perubatan yang baik, kita juga berhadapan dengan masalah kekurangan pakar perubatan kerana khidmat mereka sangat diperlukan.

“Sektor perubatan akan menggunakan peruntukan dana kerajaan untuk memantapkan sektor tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Kui Hian turut menambah, orang ramai mesti menjaga kesihatan dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat seperti membuat senaman. Dalam perkembangan sama Roslan berkata, KPJ Kuching mahu mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Sarawak melalui larian amal berkenaan.

Menurutnya, mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam merupakan langkah pencegahan penyakit terbaik.

Roslan turut berkata selain larian itu, pemeriksaan saringan kesihatan diadakan di tapak baharu KPJ Kuching. “Pusat Perubatan KPJ Kuching, BDC baharu siap sepenuhnya dan memerlukan sedikit penambahbaikkan.

“Pusat perubatan ini boleh menampung lebih banyak pesakit dalam satu-satu masa apabila ia beroperasi sepenuhnya. “Kita menyediakan penjagaan kesihatan moden untuk warga tempatan dan pelancong kesihatan” jelasnya.