KUCHING: Kes kebakaran rumah turun mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Sarawak.
Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Khirudin Drahman, hanya tujuh peratus sahaja kes kebakaran rumah dan bangunan diterima oleh pihak mereka.
Katanya, ekoran daripada itu mereka telah menerima 92 panggilan kecemasan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan bermula pada 18 Mac hingga 3 April, semalam.
“Sebanyak 46 panggilan bersamaan dengan 45 peratus adalah kes api kebun, ladang, belukar, lalang, hutan yang tertumpu di Zon Miri dan Marudi.
“Terdapat 32 balai yang beroperasi tetapi enam sahaja yang hadir untuk kes kebakaran rumah,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, catatan statistik tersebut amat positif dengan kes kebakaran rumah dengan mendadak walaupun aktiviti di dapur meningkat semasa PKP.
“Tindakan berwaspada yang dilakukan oleh penduduk dan komuniti amat membanggakan.
“Diharap sikap mengelak 3L (Lupa, Leka dan Lalai) ini dapat dikekalkan untuk mengelak tragedi yang tidak diingini berlaku.
“Sama-sama kita pastikan agar rumah, dapur, penggunaan peralatan elektrik sentiasa diberikan perhatian.
“Awasi kawasan persekitaran ketika pelaksanaan PKP agar keluarga kita sentiasa selamat,” tegasnya.



