KUCHING: Kes keganasan rumah tangga di Sarawak menunjukkan trend peningkatan apabila sebanyak 552 kes direkodkan pada 2024 berbanding 465 kes pada tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata daripada jumlah itu 181 kes melibatkan lelaki pada 2024 berbanding 178 kes pada 2023, manakala kes yang melibatkan perempuan meningkat kepada 371 kes pada 2024 berbanding 287 kes pada tahun sebelumnya.
Katanya, bahagian Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 190 kes pada 2024 berbanding 162 kes pada 2023 diikuti
Sibu yang melonjak daripada 23 kes pada 2023 kepada 48 kes pada 2024; Mukah (enam kepada 33 kes); Sri Aman (14 kepada 22 kes); dan Samarahan (36 kepada 43 kes).
“Peningkatan turut dicatatkan di Limbang daripada 12 kes pada 2023 kepada 15 kes pada 2024; Sarikei dan Betong (12 kepada 21 kes); serta Serian (18 kepada 20 kes).
“Bagaimanapun, terdapat juga bahagian yang merekodkan penurunan iaitu di Miri daripada 131 kes pada 2023 kepada 110 kes pada 2024, Bintulu daripada 26 kes kepada 20 kes, serta Kapit daripada 13 kes kepada sembilan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus sempena Majlis Penutupan Program “Breaking The Silence: Violence Prevention in Sarawak” di Hotel 56 Kuching, hari ini.
Tambahnya, keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina, pendapatan atau latar belakang dan hadir dalam pelbagai bentuk — manipulasi emosi yang mengikis harga diri, kawalan kewangan yang memerangkap mangsa dalam kebergantungan, serta kesan psikologi berpanjangan yang boleh kekal sepanjang hayat.
Justeru, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak komited menangani isu keganasan rumah tangga dan telah melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk Program Ketahui Hak Anda– program turun padang anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di kesemua 12 bahagian bagi mendidik masyarakat tentang undang-undang keganasan rumah tangga serta sokongan yang tersedia.


