ARTIKEL

BERCAKAP… Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC), di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini

Kes kehamilan remaja di Sarawak meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kes kehamilan dalam kalangan remaja di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus dari 2022 hingga September tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tahun lalu kes kehamilan remaja yang direkodkan adalah 1,536  manakala tahun ini pula meningkat kepada 1,599.

“Justeru, melihat kepada statistik tersebut adalah penting untuk kita merancang program bagi membendung kes kehamilan remaja di negeri ini supaya ia terus menurun.

“Memang jika dilihat daripada statistik kes ini ada turun naik. Tetapi, secara keseluruhan ia menunjukkan trend penurunan dengan pada 2016 kes direkodkan adalah 2,481, manakala tahun ini 1,599,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC), di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan menerusi tinjauan yang dijalankan kementerian mereka melihat kes remaja hamil itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pendedahan kepada kandungan seksual di dalam media sosial atau dalam talian; pengaruh rakan sebaya; kekurangan pendidikan seks secara menyeluruh; penyalahgunaan dadah dan alkohol; serta lain-lain. 

“Jadi, kita perlu memahami isu kehamilan remaja secara keseluruhan dan dari sinilah, OSTPC di setiap bahagian boleh merancang program yang diperlukan untuk kawasan mereka,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga Dr Eunice Melissa Joseph; Setiausaha Eksekutif Majlis Pembanguan Sosial, KPWK Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah; Penolong Setiausaha KPWK Fauziah Keepli; Penolong Setiausaha KPWK Young Chee Yaw; serta wakil yang lain.

RAKAMAN KENANGAN… dari kiri Eunice, Rosey, Fatimah, Zufar, Yong dan Fauziah merakam gambar kenangan selepas sidang media.

LAIN-LAIN BERITA

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu

BERITA TERBARU