KUCHING: Walaupun kes kehamilan remaja tanpa perkahwinan di Sarawak menurun sedikit kepada 1,242 kes pada 2025, isu itu masih memerlukan perhatian serius daripada semua pihak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak merekodkan 1,242 kes pada 2025 berbanding 1,271 kes pada 2024, sekali gus menunjukkan sedikit penurunan.
“Hakikatnya, isu kehamilan tanpa perkahwinan bukan sahaja memberi kesan kepada masa depan remaja, malah turut menjejaskan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

“Justeru, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu terus diperkukuh dengan sokongan semua pihak,” katanya pada Majlis Perasmian Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Negara anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kecenderungan remaja terhadap ketagihan internet turut mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko sosial dan keselamatan sekiranya tidak dibimbing dengan sewajarnya.
“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati hampir satu pertiga atau 29 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai kecenderungan ketagihan internet.

“Justeru, dunia digital mendedahkan golongan remaja kepada ancaman baharu seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan gangguan seksual yang semakin membimbangkan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan peningkatan kes rogol statutori yang melibatkan hubungan suka sama suka dalam kalangan individu bawah umur.
“Kes ini meningkat daripada 719 kes pada 2019 kepada 1,139 kes pada 2025, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan berkaitan keselamatan diri dan kesihatan reproduktif perlu terus diperkukuh,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Program PEKERTI Negara merupakan pendekatan yang relevan dan menyeluruh bagi memastikan pendidikan kesihatan reproduktif sampai kepada kumpulan sasar, khususnya remaja.
Selain itu, Nancy turut menegaskan bahawa ibu bapa merupakan benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada pelbagai pengaruh negatif.
“Selain memenuhi keperluan mereka, ibu bapa juga perlu menjadi pendengar yang baik serta tempat untuk anak-anak mendapatkan nasihat dan sokongan.
“Saya menyeru semua ibu bapa agar meluangkan masa bersama anak-anak, memahami dunia digital mereka serta memantau penggunaan teknologi secara berhemah.
“Hubungan yang erat dalam keluarga akan membantu anak-anak membuat pilihan yang betul dan mengelakkan mereka daripada pengaruh negatif,” jelasnya.




