KUCHING: Sarawak mencatat penurunan 10.6 peratus kes kehamilan remaja bagi tempoh Januari hingga September 2025 berbanding tahun lalu, sekali gus mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) yang mensasarkan pengurangan sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 1,481 kes direkodkan dalam tempoh sama pada 2024, manakala 1,324 kes dicatat dari Januari hingga September 2025, menunjukkan pengurangan 157 kes bersamaan 10.6 peratus.
Katanya, pencapaian itu hasil kerjasama pelbagai agensi di bawah OSTPC yang semakin kukuh dan berkesan.
“Alhamdulillah, laporan menunjukkan penurunan 10.6 peratus kes remaja hamil bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tahun lalu.
“Ini bermakna KPI kita tercapai dan usaha bersepadu semua agensi semakin menunjukkan kesan yang jelas.
“Namun dalam masa yang sama, kita perlu menyediakan sistem sokongan yang kuat untuk remaja yang sudah hamil, bermula daripada antenatal, proses melahirkan sehinggalah selepas bersalin kerana setiap daripada mereka berhak mendapat peluang kedua,” katanya.
Mesyuarat OSTPC Negeri Sarawak Bil.1/2025 turut membentangkan statistik terkini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, termasuk dapatan umur, status pendidikan dan status perkahwinan remaja hamil di seluruh negeri.
Lebih 50 peratus remaja hamil direkodkan dalam kalangan mereka berusia 18 hingga 19 tahun, sementara terdapat penurunan remaja hamil yang tidak bersekolah iaitu daripada 97 peratus kepada 98.57 peratus.
Dalam pada itu, mesyuarat turut mengenal pasti peningkatan trend remaja hamil yang tidak berkahwin, perkembangan yang memerlukan sokongan lebih tersusun termasuk dari sudut ekonomi, psikososial dan kebajikan.
“Setakat September 2025, sebanyak 416 kes rujukan dibuat kepada OSTPC berbanding 463 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata mesyuarat turut meneliti dapatan kajian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mengenal pasti faktor utama menyumbang kepada kehamilan remaja.
“Antaranya pengaruh rakan sebaya, persekitaran keluarga, pendedahan kepada kandungan lucah, keciciran sekolah dan pergaulan bebas.
“Berdasarkan maklumat ini, kementerian bersama agensi seperti Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan dan NGO termasuk Pertubuhan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) akan memperkukuh modul pendidikan seksual, program komuniti serta advokasi keselamatan reproduktif untuk golongan remaja.
“Program turun padang pada 2026 juga akan dijalankan secara evidence-based, menyasarkan kawasan berisiko tinggi berdasarkan profil kes semasa,” jelasnya.
Fatimah berkata, usaha OSTPC seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melibatkan kesihatan, pendidikan dan kesaksamaan gender selain menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan sosial inklusif.
Beliau berharap kerjasama strategik antara agensi dapat terus diperkukuh bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan memberi kesan berpanjangan kepada golongan remaja di negeri ini.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berdaya tahan dan mampu membina masa depan yang lebih baik. Itu matlamat kita bersama,” ujarnya.


