ARTIKEL

Baling batu: tertuduh dibawa oleh anggota polis dari bilik tahanan mahkamah menuju ke Mahkamah Majistret.

Kes Viral Batu Kawa: OKU Mental Diperintah Penilaian Psikiatri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang warga emas dengan sejarah penyakit mental diperintahkan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memecahkan cermin kereta dengan membaling batu dalam kejadian tular di Batu Kawa.

Bujang Sanusi, 68, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental, mengangguk faham ketika dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada tingkap belakang kereta jenis Perodua Axia milik seorang wanita berusia 29 tahun hingga menyebabkan kerugian RM250.

Dia melakukan kesalahan itu di hadapan kilang Paragon, Jalan Batu Kawa, sekitar jam 2.20 pagi, 2 Jun lepas.

Manakala pertuduhan kedua, dia sekali lagi melakukan khianat memecahkan cermin hadapan kereta jenis Toyota Hiace milik seorang wanita berusia 39 tahun hingga menyebabkan kerugian RM900.

Dia melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Kampung Sinar Budi Lama, Jalan Batu Kawa, sekitar 7.25 malam, 5 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Ogos depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut laporan media terdahulu, pada 7 Julai lepas, tangkapan dilakukan terhadap tertuduh oleh pihak polis yang dipercayai membaling batu hingga menyebabkan cermin kenderaan yang melalui Jalan Batu Kawa pecah.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz MD Radzi, sebanyak 10 laporan polis telah diterima dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Turut dirampas dari tertuduh ialah beberapa ketul batu yang digunakannya.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi