KEBELAKANGAN ini, langit di beberapa kawasan di Mukah tidak lagi cerah seperti biasa selepas dilanda jerebu susulan kebakaran hutan berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah sejak 25 Julai lalu.
Jerebu yang menyebabkan jarak pandangan terhad agak membahayakan, terutamanya pada waktu pagi ketika orang ramai keluar bekerja.
Keadaan ini menyebabkan ramai mengambil langkah berjaga-jaga kerana apabila hutan mula marak terbakar, asap yang terhasil bukan sahaja membinasakan alam, malah perlahan-lahan menyelinap masuk ke ruang kehidupan kita.
Kebakaran hutan juga bukan sekadar kehilangan pokok dan fl ora, malah mengakibatkan hilangnya habitat haiwan, musnahnya ekosistem, dan terhentinya kitaran semula jadi yang menyokong kehidupan.

Sehubungan itu, jerebu akibat kebakaran hutan bukanlah perkara baharu dan kita sering mendengar mengenai kejadian tersebut.
Namun, saban tahun kita tetap mengulang babak yang sama akibat kecuaian dan kedegilan mereka yang tidak mengendahkan amaran ketika cuaca panas.
Kebanyakan kebakaran berlaku akibat pembakaran terbuka di kebun, dan pihak berkuasa juga sering memberi peringatan mengenainya.
Namun, sesetengah pihak masih tidak menghiraukan amaran yang diberikan.
Kebakaran ini bukan sahaja memusnahkan kawasan sendiri, malah merugikan banyak pihak, terutamanya mereka yang mempunyai tanaman di kebun.
Hal ini demikian kerana menuai hasil tanaman yang telah diusahakan bertahuntahun bukanlah perkara mudah, walaupun ia boleh ditanam semula.
Masa dan tenaga yang digunakan semasa mengusahakan tanaman mungkin antara perkara yang paling disesali kerana proses ini tidak mengambil tempoh yang singkat, sebaliknya memakan masa bertahuntahun.
Apabila asap hutan terbakar naik ke udara, ia tidak mengenal sempadan dan tidak peduli siapa yang bersalah atau tidak kerana semua orang akan merasai kesannya.
Aktiviti luar turut terganggu, manakala ekonomi tempatan yang bergantung pada pertanian atau pelancongan juga terjejas.
Keadaan ini disebabkan cuaca yang tidak menentu, sekali gus menyukarkan pelaksanaan aktiviti luar serta berisiko menjejaskan kesihatan, terutamanya apabila jerebu tebal melanda dan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Dalam keadaan begini, adalah penting untuk kita sentiasa peka terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kerana ia bukan sekadar angka, malah memberi gambaran sejauh mana ‘bersih’ atau ‘kotor’ udara yang dihirup.
Jika bacaan melebihi paras bahaya, adalah lebih baik untuk mengurangkan aktiviti luar.
Selain itu, langkah pencegahan amat penting dalam menghadapi situasi ini.
Kita boleh menggunakan pelitup muka yang sesuai, menutup tingkap rumah, dan memastikan pengudaraan dalam rumah sentiasa baik. Pengambilan air juga perlu dilakukan secukupnya agar tubuh tidak terhidrasi.
Walaupun kedengaran biasa, perkara berkaitan pengambilan air ini sangat penting.
Bagi mereka yang bekerja di luar, keadaannya lebih mencabar kerana mereka tiada pilihan selain meneruskan kerja walaupun udara tercemar.
Namun, dengan langkah pencegahan yang diambil, ia tentunya membantu mengurangkan risiko pendedahan kepada udara tercemar serta melindungi kesihatan daripada kesan buruk jerebu. Oleh itu, dalam cuaca panas sekarang, kita perlu sentiasa berhati-hati dan memastikan kesihatan sentiasa terjaga.



