LUNDU: Penduduk kampung digalakkan untuk meluangkan masa berjumpa dengan kaunselor dan menilai tahap tekanan atau stres yang dihadapi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesedaran aspek kesejahteraan mental perlu diperkasakan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Program Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Kamek Nengar, Kamek Nulong berperanan sebagai platform untuk mendekatkan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada komuniti setempat.
“Melalui PSSS, masyarakat ditawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk sesi kaunseling, khidmat nasihat serta sokongan emosi yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar dan berpengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Surau An-Nur, Kampung Terusan Jaya, Sematan, hari ini.
“Pendekatan turun padang membolehkan perkhidmatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensinya disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat.
“Usaha ini memastikan maklumat berkaitan bantuan, kaunseling dan kebajikan dapat disalurkan secara langsung kepada penduduk setempat,” tambahnya.
Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti psikososial turut dilaksanakan termasuk sesi kaunseling individu, pameran agensi serta perkhidmatan bergerak PSSS.

