ARTIKEL

Stephen Rundi berucap merasmikan Program Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Komuniti MLNG: Maklumat Bahaya Kemalangan Besar Industri kepada Orang Awam 2026 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Kesedaran keselamatan kediaman perlu dipertingkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kesedaran keselamatan kediaman perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk rumah panjang dan kawasan kampung, bagi mengurangkan risiko bencana seperti kebakaran, banjir dan hakisan tanah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata langkah pencegahan awal perlu diutamakan berbanding tindakan selepas sesuatu bencana berlaku kerana kejadian sedemikian boleh mengakibatkan kehilangan harta benda serta menjejaskan kehidupan penduduk.

Beliau berkata aspek keselamatan perlu diberi perhatian sejak peringkat perancangan dan pembinaan kediaman, termasuk pemilihan lokasi, reka bentuk bangunan serta pematuhan kepada ciri keselamatan yang ditetapkan.

“Apabila membina rumah, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah keselamatan, termasuk risiko banjir, hakisan tanah dan kesesuaian reka bentuk bangunan.

“Kita tidak seharusnya hanya memikirkan tindakan yang perlu diambil apabila bencana berlaku, sebaliknya perlu mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Komuniti MLNG: Maklumat Bahaya Kemalangan Besar Industri kepada Orang Awam 2026 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Stephen Rundi berkata usaha meningkatkan kesedaran keselamatan tidak seharusnya terhad kepada program sekali sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan supaya amalan berkenaan menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan masyarakat.

Menurutnya, keselamatan bukan sahaja melibatkan keadaan fizikal kediaman, malah merangkumi amalan seharian, termasuk penggunaan peralatan elektrik secara selamat dan langkah mencegah kemalangan dalam kalangan ahli keluarga.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan Bintulu sebagai bandar perindustrian perlu diseimbangkan dengan usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, selesa dan sesuai didiami.

Menurutnya, perancangan pembangunan bandar perlu mengambil kira aspek keselamatan, perumahan, kesesakan lalu lintas dan pencemaran bagi memastikan pertumbuhan pesat tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Justeru, beliau berharap program kesedaran keselamatan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, terutama penduduk rumah panjang dan kampung, supaya mereka lebih bersedia menghadapi risiko serta mengamalkan langkah pencegahan dalam kehidupan seharian.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu kejadian berlaku barulah kita belajar tentang keselamatan. Sebaliknya, kita perlu mengambil iktibar lebih awal supaya dapat mengelakkan kesusahan dan kerugian yang boleh dicegah.

“Tanggungjawab memastikan keselamatan kediaman bukan hanya terletak pada kerajaan atau agensi tertentu, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak demi melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan masyarakat,”tegasnya.

BERITA LAIN

See Chee How perjelas keputusan sertai SUPP

KUCHING: Pengalaman lebih empat tahun berkhidmat sebagai ADUN Bebas khususnya kerjasama dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan penduduk Batu Lintang menjadi antara

BERITA TERBARU

See Chee How perjelas keputusan sertai SUPP

KUCHING: Pengalaman lebih empat tahun berkhidmat sebagai ADUN Bebas khususnya kerjasama dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan penduduk Batu Lintang menjadi antara