KUCHING: Pengalaman lebih empat tahun berkhidmat sebagai ADUN Bebas khususnya kerjasama dengan kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan penduduk Batu Lintang menjadi antara faktor utama yang mendorong See Chee How mengambil keputusan untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Penyandang kerusi Batu Lintang itu berkata, pengalaman berkenaan meyakinkannya bahawa kerjasama berasaskan matlamat bersama dan sikap saling menghormati mampu memberikan manfaat kepada rakyat, sekali gus mempengaruhi keputusannya untuk bersama-sama parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai ADUN Bebas, beliau menerima nasihat, galakan dan sokongan daripada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
‘’Sokongan kedua-dua pemimpin itu, selain kerjasama pemimpin GPS yang lain serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, membolehkannya melaksanakan inisiatif bagi memenuhi keperluan penduduk Batu Lintang,’’ katanya dalam kenyataan.
Melalui hubungan kerja tersebut, beliau dapat membantu menyalurkan geran dan bantuan kerajaan kepada komuniti, pertubuhan berdaftar, badan kemasyarakatan serta individu bagi menyokong pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan taraf hidup dan kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, See merakamkan penghargaan kepada Abang Johari dan Dr. Sim atas sokongan serta kesediaan mereka membantu menjayakan inisiatif yang memenuhi keperluan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.
Mengulas keputusan politik terbaharunya, See berkata, langkah untuk menyertai SUPP dan GPS dibuat selepas mempertimbangkan perjalanan politiknya selama 16 tahun sebagai wakil rakyat, termasuk pengalaman bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan sebagai ADUN Bebas.
Beliau mengakui keputusan tersebut mungkin mengundang pelbagai persoalan, tafsiran dan kritikan, khususnya daripada pihak yang mengenalinya sebagai wakil pembangkang sepanjang sebahagian besar perjalanan politiknya.
“Keputusan itu tidak bermakna saya mengetepikan prinsip perjuangan yang menjadi asas penglibatan dalam politik sejak awal.
‘’Sebaliknya, saya percaya penyertaan dalam SUPP dan GPS akan memberi ruang untuk menyumbang secara lebih langsung kepada usaha mempertahankan hak, keistimewaan dan kepentingan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),’’ katanya.
Menurutnya, perjuangan memperkukuh autonomi Sarawak, termasuk keupayaan negeri menentukan keutamaan pembangunan, mengurus sumber secara bertanggungjawab dan memperkasakan institusi negeri, perlu diteruskan demi kepentingan generasi akan datang.
See berkata, beliau memperjuangkan autonomi Sarawak sejak bersama PKR, termasuk menuntut supaya kepimpinan parti di negeri ini diberikan kuasa lebih besar untuk membuat keputusan tanpa terlalu bergantung pada kepimpinan nasional.
Menurutnya, perbezaan pendirian dengan kepimpinan nasional PKR akhirnya menyebabkan beliau disingkirkan daripada parti itu sebelum meneruskan perjuangan politik melalui PSB.
‘’Bagaimanapun, selepas meninggalkan PSB, saya memilih untuk meneruskan khidmat sebagai ADUN Bebas sehingga pembubaran DUN Sarawak pada 26 Oktober lalu,’’ katanya.
See turut berpandangan perubahan landskap politik Sarawak khususnya pendekatan GPS yang memberikan penekanan ke atas hak dan kepentingan negeri turut mempengaruhi pertimbangannya untuk menyertai gabungan berkenaan.
Beliau percaya hala tuju tersebut selaras dengan prinsip yang diperjuangkannya sejak mula menceburi politik, sekali gus membuka ruang untuk memainkan peranan lebih berkesan melalui kerjasama dengan kepimpinan SUPP dan GPS.
Terdahulu, See mengemukakan permohonan keahlian SUPP semalam, sehari selepas pembubaran DUN Sarawak.
Borang permohonan itu diserahkan kepada Setiausaha Pengelola Pusat SUPP, Datuk Matthew Chen, dengan disaksikan Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, serta Setiausaha Agung parti itu, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Bagaimanapun, SUPP memaklumkan bahawa perkembangan mengenai penerimaan permohonan keahlian See akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.




