ARTIKEL

Dr Rundi (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan perayaan Hari Sarawak 2024 di Wisma Bintulu, petang tadi.

Kesetiaan Sarawak kepada Malaysia adalah mutlak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sarawak mempunyai kesetiaan mutlak kepada Kerajaan Malaysia, dan ia akan kekal dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, tegas Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, jangan persoalkan kesetiaan Sarawak kepada Malaysia.

Sebaliknya, katanya, Sarawak hanya meminta agar haknya yang terhakis dikembalikan semula dan tidak lebih daripada itu.

Dr Rundi (dua kanan) bersama Penguang (kiri), Sebastian(tengah) dan Ripin (kanan) menunjukkan risalah sambutan perayaan Hari Sarawak 2024 yang bakal diadakan pada 22 Julai ini di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

“Dalam Persekutuan Malaysia, kita (Sarawak) 100 peratus setia kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, tidak ada yang perlu dibimbangkan.

“Jangan persoalkan kesetiaan kita kepada Malaysia. Kita (Sarawak) akan kekal di Malaysia. Apa yang kita perlukan adalah apa yang patut kepada kita. Tidak lebih, tidak kurang.

“Itu pandangan umum Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan perayaan Hari Sarawak 2024 di Wisma Bintulu, petang tadi.

Dr Rundi, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan perayaan Hari Sarawak 2024 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, berkata bahawa sambutan yang bakal diadakan pada 22 Julai ini di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu akan mengetengahkan beberapa perkembangan dan pencapaian Sarawak sebagai sebuah wilayah di Malaysia.

Beliau berkata penglibatan Sarawak dalam pembangunan tenaga hijau merupakan sumbangan penting bukan sahaja kepada Malaysia tetapi seluruh dunia dalam menangani perubahan iklim.

Oleh itu, katanya, sambutan pada tahun ini mempunyai makna yang lebih besar dari segi sumbangan Sarawak kepada Malaysia dan dunia.

“Kita mesti meraikan bersama dan sebagai rakyat Sarawak, kita mesti berbangga dengan pencapaian kita,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata ia merupakan peluang yang baik buat penduduk di Bintulu dan mereka yang tinggal di kawasan berhampiran untuk menghadiri dan menyaksikan sambutan bagi memperingati hari istimewa di negeri ini.

Yang DiPertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, dijangka hadir sama.

Antara pengisian sambutan termasuk Majlis Kesyukuran, Fun Ride di Dewan Suarah Bintulu (jarak 15 kilometer), Townhall di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Pameran dan Perhimpunan Hari Sarawak, persembahan pentomin, persembahan nyanyian artis tempatan dan tanah air.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengibarkan bendera Sarawak di premis mereka sebagai tanda penghormatan kepada Hari Sarawak yang disambut untuk memperingati hari wilayah ini mendapat pemerintahan sendiri daripada Kerajaan British pada 22 Julai 1963.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan), Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Sirai Daha serta Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey hadir sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU