KUCHING: Kesihatan mental perlu diberi perhatian seiring dengan kesihatan fizikal dalam usaha membentuk masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman berkata, setiap individu perlu memberi perhatian terhadap emosi, fikiran dan keperluan diri dalam menjalani kehidupan seharian.

Katanya, kesibukan mengurus pekerjaan, keluarga dan pelbagai tanggungjawab menyebabkan ada kalanya seseorang terlupa untuk menilai keadaan kesihatan mental diri sendiri.
“Kesihatan mental merupakan sebahagian daripada kesejahteraan hidup dan sama seperti kita menjaga kesihatan fizikal, kita juga perlu memberi perhatian kepada emosi, fikiran dan keperluan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Fun Run: Healthy Run, Wealthy Mind 2.0 anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Umum Sarawak (HUS) sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.
Hilmy berkata, setiap individu mempunyai cabaran hidup berbeza termasuk tekanan pekerjaan, masalah keluarga, kehilangan insan tersayang atau perkara yang sukar dikongsi dengan orang lain.
Justeru, katanya, masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling dengan mengamalkan sikap saling mendengar tanpa menghukum serta memberikan sokongan dengan penuh empati.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental kerana mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah berani untuk menjaga diri.
“Mereka yang memerlukan sokongan harus berasa selamat untuk bersuara dan mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmy berkata, program seperti Fun Run: Healthy Run, Wealthy Mind 2.0 mampu membuka ruang perbualan yang lebih positif mengenai kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Katanya, aktiviti riadah dan interaksi dalam suasana mesra bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah dapat mengeratkan hubungan serta menyuburkan rasa kebersamaan dalam komuniti.
Beliau berkata, DBKU mahu terus membentuk Kuching sebagai bandar raya penyayang, berdaya tahan dan mampan dengan kesejahteraan masyarakat sebagai keutamaan.
“Pembangunan bandar raya perlu membawa manfaat yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian, termasuk peluang untuk hidup sihat, berinteraksi dan menikmati persekitaran yang selesa,” katanya.
Tambahnya, inisiatif seperti Kuching Car Free Morning turut memberi peluang kepada warga kota menikmati ruang bandar tanpa kenderaan menerusi aktiviti berjalan, berlari, berbasikal dan kegiatan bersama komuniti.
Menurutnya, budaya hidup aktif perlu terus dipupuk supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan seharian warga kota.
Hilmy berkata, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, institusi kesihatan, pertubuhan masyarakat dan sukarelawan juga penting dalam memperluas penyampaian maklumat berkaitan kesihatan mental.
Katanya, usaha bersama itu dapat menggalakkan masyarakat mendapatkan sokongan apabila diperlukan selain membina komuniti yang saling mengambil berat.
Program Fun Run: Healthy Run, Wealthy Mind 2.0 dianjurkan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HUS dengan penglibatan warga kerja serta komuniti setempat.


