Kesihatan warga tua dipantau

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan sistem pemantauan penjagaan warga tua.

Penyelidikan dilakukan dengan kerjasama Syarikat OptimumEden Healthcare Sdn Bhd (OEH). Menurut kenyataan media, kerjasama itu bertujuan untuk membangunkan sistem yang selamat, berkesan dan praktikal untuk warga tua yang hidup sendirian.

“Universiti Swinburne akan melaksanakan sistem berpusat yang mampu memantau tahap kesihatan dengan penggunaan sensor sekali gus menambah baik prestasi sensor tersebut.

“Selain daripada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan, Swinburne dan Eden juga akan mengkaji program siswazah dan pascasiswazah yang ditawarkan universiti itu untuk tujuan penambahbaikan,” katanya.

Pengerusi OEH John Chin berkata, pihaknya mempunyai visi untuk membangunkan teknologi tempatan yang serba canggih dan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 bagi penjagaan warga tua di Sarawak.

Katanya, teknologi yang dihasilkan bukan sahaja dapat digunakan pada masa ini, malah dapat dieksport ke seluruh negara dan Asia Tenggara Sementara itu, Ketua Projek dan Ketua Sekolah Pengkomputeran Swinburne, Profesor Patrick Then menjelaskan bahawa kerjasama itu merangkumi kajian pelbagai disiplin termasuk mengkaji dari aspek kejuruteraan, informasi dan teknologi maklumat serta impak sosial.

“Meskipun terdapat pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang berasaskan teknologi di luar, saya berpendapat bahawa ia mungkin tidak sesuai dengan keperluan dan budaya masyarakat kita,” ujar beliau.

Memorandum yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Profesor John Wilson dan Ketua Pegawai Eksekutif OEH Simon Yong itu telah disaksikan oleh Pengerusi OEH John Chin dan Pengarah Urusan Victor Fong.

Terdahulu, OEH yang ditubuhkan di bawah kumpulan syarikat Eden-On-The-Park itu menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dalam pengurusan penjagaan warga tua. Eden-On-The-Park merupakan tempat kediaman berkonsepkan pusat peranginan yang dilengkapi kemudahan penjagaan bagi kumpulan warga tua.

Kawasan seluas lapan ekar yang terletak di Samarahan itu mempunyai persekitaran yang mesra, selamat dan kondusif dilengkapi perkhidmatan serba moden dan penjagaan profesional.

Untuk maklumat lanjut Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dapat dilayari di www.swinburne. edu.my, laman Facebook (@swinburnesarawak), Instagram (@ swinburnesarawak), Twitter (@ Swinburne_Swk) atau YouTube (Swinburne Sarawak).

Suara Sarawak