BINTULU: Ketua masyarakat dan komuniti nelayan disaran agar sentiasa peka terhadap isu semasa, khususnya berkaitan perubahan cuaca dan amaran bencana bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kepekaan terhadap maklumat semasa amat penting agar tindakan awal dapat diambil, terutama dalam menghadapi cuaca tidak menentu yang boleh menimbulkan risiko kepada komuniti nelayan dan penduduk luar bandar.
“Saya minta kepada semua ketua masyarakat yang mempunyai televisyen agar sentiasa mengikuti laporan berita semasa. Baru-baru ini berlaku kejadian ribut, dan dalam keadaan seperti ini, saya berharap semua persatuan nelayan lebih peka serta mengingatkan ahli masing-masing supaya berhati-hati sebelum turun ke laut, atau menangguhkan aktiviti mereka jika perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Latihan dan Simulasi Pengurusan Bencana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 di Balai Raya Kampung Jepak, di sini, pada Khamis.
Simbolik penutupan program disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Menurut Iskandar, beliau sendiri menerima laporan pada pagi tadi mengenai sebuah kapal yang tenggelam di perairan Kidurong, dan difahamkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, Sarawak yang merupakan sebuah negeri yang luas dengan bentuk muka bumi dan keadaan geografi yang pelbagai berdepan ancaman bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran, ribut serta kejadian luar jangka lain.
Oleh itu, katanya, ancaman bencana seperti itu sentiasa wujud dan menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi daripada semua agensi.
Justeru, jelasnya, program simulasi seperti itu amat penting kerana ia bukan sahaja menguji, malah memperkukuh keberkesanan mekanisme penyelarasan antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“Ia juga memberi peluang kepada semua pihak untuk menilai tahap kesiapsiagaan sebenar dalam menghadapi situasi bencana secara realistik,” ujarnya sambil menambah pengurusan bencana bukan hanya tertumpu kepada usaha menyelamat ketika bencana berlaku, tetapi turut melibatkan aspek pencegahan, persediaan, pemulihan serta pemerkasaan komuniti selepas bencana.
“Inilah semangat Pendekatan Seluruh Masyarakat (Whole of Society Approach) yang kita tekankan, di mana setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan penting untuk dimainkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berharap agar penganjuran latihan dan simulasi seperti ini tidak hanya menjadi aktiviti rutin, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembelajaran yang mampu meningkatkan kefahaman, kecekapan, dan komitmen semua pihak terhadap pengurusan bencana yang lebih menyeluruh dan berkesan.
“Saya amat berharap agar simulasi pada hari ini bukan sahaja menjadi latihan rutin, tetapi juga satu pengalaman pembelajaran yang dapat meningkatkan kefahaman, kecekapan, dan komitmen semua pihak terhadap pengurusan bencana yang lebih menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.



