NEW YORK, Amerika Syarikat: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada pertubuhan terkemuka Jepun yang mewakili mangsa bom atom atas kejayaan mereka memenangi Hadiah Nobel Keamanan.
Beliau memuji mereka sebagai “tulang belakang pergerakan global untuk perlucutan senjata nuklear”.
Dalam satu kenyataan, Guterres menyatakan solidariti PBB dengan “hibakusha” — istilah Jepun bagi mangsa bom atom — dengan menyifatkan mereka sebagai “inspirasi” untuk usaha global bagi menghapuskan senjata nuklear, menurut Agensi Berita Kyodo.
Beliau menekankan bahawa pengalaman mangsa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945 mengingatkan dunia bahawa ancaman senjata nuklear bukan hanya dari masa lalu.
“Bahaya senjata nuklear kembali menjadi sebahagian daripada retorik harian dalam hubungan antarabangsa.
“Satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman senjata nuklear adalah dengan penghapusan sepenuhnya,” kata Guterres.
Pada Jumaat, Hadiah Nobel Keamanan 2024 dianugerahkan kepada Nihon Hidankyo, sebuah organisasi Jepun yang terdiri daripada mangsa bom atom Hiroshima dan Nagasaki.
Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka untuk “mencapai dunia bebas senjata nuklear”.
Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Perlucutan Senjata, Izumi Nakamitsu, turut menyuarakan sentimen yang sama dalam sidang akhbar di New York.
“Bayangkan selamat daripada pengeboman atom.
“Kebanyakan orang tidak mahu mengingati semula kenangan itu.
“Namun, mangsa-mangsa ini memilih untuk berkongsi pengalaman tragis mereka dengan dunia, memperjuangkan pengurangan dan penghapusan senjata nuklear,” kata Nakamitsu. – BERNAMA-KYODO



