ARTIKEL

Elora Danae Hardie Jansen juara Little Miss/Mister Pageant 2026 BORBIZ dan Razz Couture bagi kategori B. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Keunikan Kontemporari Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Ratu cantik remaja berdarah kacukan Iban-Belanda, Elora Danae Hardie Jansen dinobatkan sebagai juara bagi kategori B Little Miss/Mister Pageant 2026 BORBIZ dan Razz Couture apabila tampil memukau dengan busana mempesonakan.

Dengan penuh keyakinan dan senyuman manis di pentas peragaan, keanggunan Elora terserlah dengan menyarungkan gaun malam labuh yang diilhamkan secara kreatif daripada busana tradisi Ngepan Batang Rajang.

Sesi menyarungkan mahkota kepada juara ratu cantik Little Miss Pageant 2026 BORBIZ dan Razz Couture. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Keindahan busana tersebut disempurnakan dengan hiasan aksesori kepala unik yang mengambil inspirasi daripada kehalusan seni sugu tinggi dan marik empang (dujung mariek). Gabungan elemen tradisional dan moden ini nyata menterjemahkan pesona warisan Bumi Kenyalang ke tahap yang lebih tinggi.

Pertandingan anjuran Razz Couture ini diterajui oleh Razie Ali, yang berperanan sebagai jurusolek artis, pereka fesyen, perancang perkahwinan dan pengurus acara.

Tiga terbaik kategori B, Elora (tengah), Harold Xavier (kiri) dan Nurqistina Batrisyia (kanan). KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Menurut Razie, penganjuran kali ini membawa tema ‘Kontemporari Borneo’ yang memberi fokus untuk mengetengahkan elemen budaya warisan dengan sentuhan moden dalam kepelbagaian masyarakat majmuk.

Beliau menegaskan bahawa objektif utama acara ini adalah untuk menyediakan platform dalam bidang peragaan bagi mengekalkan warisan budaya dalam kalangan generasi muda, serta membina keyakinan diri mereka di atas pentas.

Aaira Inara muncul sebagai juara keseluruhan bagi kategori A. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Tambahnya, bagi memastikan para peserta tidak sekadar bersandar kepada rupa paras semata-mata, mereka diberikan tugasan wajib untuk menjawab beberapa soalan berkaitan budaya, integriti dan seni warisan.

“Harapan kami agar pada masa akan datang, pertandingan seperti ini akan menjadi titik tolak kepada generasi muda untuk terus menyerlah seiring dengan bakat dan minat masing-masing.

Detik mendebarkan untuk pengumuman juara dan naib juara kategori A. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

“Mungkin pada masa hadapan mereka akan menjadi bintang atau ikon negara ke peringkat antarabangsa. Mereka bukan sekadar membawa kecantikan, tetapi menggalas cerminan budaya, asal usul, dan citra yang baik kepada orang luar,” ujar Razie ketika ditemu bual pemberita selepas tamat acara di The Hills, Kuching baru-baru ini.

Bagaimanapun, Razie tidak menafikan bahawa setiap penganjuran pasti mempunyai cabarannya yang tersendiri. Antara cabaran utama yang dihadapi adalah daripada aspek pengurusan dan usaha untuk memberi kefahaman yang jelas kepada para peserta berkaitan objektif pertandingan dan memastikan mereka bersaing secara sihat.

Tiga terbaik kategori A (dari kiri) Dea Delisha, Aaira Inara dan Shera Aurellia Teo. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Mengulas aspek pembiayaan, jelasnya dana bagi menjayakan acara ini diperoleh daripada tajaan rakan-rakan terdekat dan juga sokongan padu daripada pihak BORBIZ Market sendiri.

Justeru, beliau amat berharap agar lebih banyak pihak akan tampil berkolaborasi dalam acara kebudayaan seperti ini pada masa hadapan.

Sesi soal jawab. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Malam kemuncak tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para pemenang lain yang tidak kurang hebatnya.

Bagi gelaran subsidiari keseluruhan, anugerah Solekan Terbaik disandang oleh Putri Arieanna, manakala Nurqistina Batrisyia merangkul Gaya Rambut Terbaik. Mohd Dhabit Falley pula membawa pulang Anugerah Supra Kanak-Kanak Terbaik dan Aireil Mikhael dianugerahkan Anugerah Model Inspirasi.

Suasana menarik sekitar acara. KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Persaingan sengit dalam kategori A menyaksikan Aaira Inara muncul sebagai juara keseluruhan dan menyapu bersih anugerah Anugerah Pengenalan Terbaik, Anugerah Peragaan Pentas Terbaik dan Anugerah Pilihan Popular (Kesayangan Penonton).

Tempat kedua dimenangi oleh Dea Delisha yang turut memenangi Best Attire Dress, manakala Shera Aurellia Teo menduduki tempat ketiga bersama anugerah Media Sosial dan Anugerah Senyuman Tercantik.

KREDIT FOTO: Bertuah Photo

Bagi kategori B pula, kemenangan Elora Danea selaku juara turut diiringi dengan anugerah Pengenalan Terbaik. Kedudukan naib juara disandang oleh Harold Xavier yang juga memenangi Anugerah Pilihan Popular (Kesayangan Penonton) manakala Nurqistina Batrisyia menduduki tempat ketiga.

Anugerah khas lain bagi kategori B menyaksikan Cassandra Glessia memenangi Anugerah Media Sosial, Nur Amydhiya bagi Anugerah Busana Terbaik, Putri Ika bagi Peragaan Pentas Terbaik dan Nurdhamia Hasna membawa pulang anugerah Senyuman Tercantik.

Sehubungan itu, kejayaan edisi 2026 ini membuktikan bahawa seni warisan Borneo akan terus subur dan relevan jika terus diberi nafas baharu yang kreatif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU