KUCHING: Keutamaan peralatan perubatan di Sarawak perlu ditentukan berdasarkan keperluan penduduk tempatan dan impak yang mampu diberikan kepada sistem kesihatan negeri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemajuan teknologi perubatan menawarkan pelbagai pilihan, namun tidak semuanya perlu diberi keutamaan pada masa yang sama.
“Senarai keinginan boleh berterusan selama-lamanya.
Persoalannya, apakah yang paling penting dan apakah impak yang kita perlukan berdasarkan penduduk tempatan?
“Sebagai contoh, di Sarawak kita mempunyai banyak kes kanser nasofarinks dan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala dan Perasmian Persidangan Kebangsaan Perubatan Nuklear (NCNM) 2026 di sini, malam tadi.
Menurutnya, perkembangan teknologi seperti PET-CT, terapi sasaran, pengimejan molekul dan terapi proton perlu dilihat dari sudut keperluan klinikal serta manfaat kepada penduduk.
“Pihak komersial akan mendorong kita mendapatkan terapi tertentu kerana jika mereka menjual mesin murah, marginnya kecil.
Mesin mahal, terutama yang menggunakan teknologi terkini, memberikan margin yang lebih besar.
“Jadi, perkongsian seperti ini penting untuk menentukan apa yang paling sesuai pada ketika ini dan apakah keutamaan yang perlu diberi berdasarkan keadaan setempat,” katanya.
Dr Sim berkata, perkara yang sama perlu diberi perhatian dalam pembangunan perubatan nuklear di Sarawak yang mempunyai cabaran tersendiri dari segi bekalan bahan radioaktif.
Katanya, Sarawak belum mempunyai kemudahan siklotron menyebabkan isotop perlu dibawa dari Semenanjung, selain tempoh penggunaannya terhad berikutan proses pereputan radioaktif.
“Bagi Sarawak, ia satu cabaran besar kerana kita tidak mempunyai siklotron.
“Untuk membawa semua isotop dari Semenanjung ke sini, kita mempunyai masa yang terhad kerana pereputan radioaktif,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan perubatan nuklear di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang bermula pada 1995 bagaimanapun telah berkembang jauh dan kini mempunyai peluang untuk diperkukuh.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata Kerajaan Sarawak menyediakan RM500 juta bagi perolehan peralatan untuk pembangunan hospital kanser baharu bernilai sekitar RM1.5 bilion.
Katanya, keputusan mengenai peralatan berkenaan perlu mengambil kira pandangan pengguna akhir supaya kemudahan yang diperoleh benar-benar memenuhi keperluan pesakit dan petugas perubatan.
Dr Sim berkata, pembangunan hospital berkenaan turut membuka ruang kepada bidang perubatan nuklear untuk menentukan keperluan peralatan dan teknologi yang bersesuaian dengan perkhidmatan di Sarawak.
Turut hadir, Pengerusi NCNM 2026, Dr Rahmat Majidi; Ketua Penyelaras Kebangsaan Perkhidmatan Perubatan Nuklear dan Ketua Jabatan Perubatan Nuklear Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siti Zarina Amir Hassan; dan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Ngian Hie Ung.

