MATU: Gerai penjaja di Kampung Kuala Matu musnah akibat ribut kencang sekitar jam 6.00 pagi semalam.
Ketua Kaum Kampung Hilir Kuala Matu, Kadir Adi mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi oleh Suara Sarawak.
Katanya, dalam kejadian itu, lima gerai berstrukturkan kayu dan beratap zink telah musnah.
Tambahnya, dalam kejadian yang sama, tiang elektrik berdekatan dengan gerai tersebut turut patah.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa. Buat masa ini, penjaja sudah mula membaik pulih gerai masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kadir turut berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan keadaan terkini gerai itu.
Dalam kepingan gambar yang sama turut kelihatan kerja-kerja mengalih tiang elektrik telah dilaksanakan oleh pihak yang berwajib.