KUCHING: “Menggunakan khidmat penghantar barang atau runner sepanjang bulan Ramadan adalah pilihan yang baik dan terlebih relevan kepada semua penjaja dan peniaga atas talian. Pengerusi Persatuan Penjaja Petra Jaya Mohamad Khairuzie Bolhassan berkata, pihaknya bersetuju dan menyambut baik arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi meringankan beban peniaga sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, keputusan untuk menggunakan khidmat penghantar barang sedia ada selain mengekalkan had waktu operasi perniagaan atas talian hingga 7 malam harus diterima baik oleh semua peniaga mahupun penjaja.
“Apabila khidmat mereka digunakan, maka tidak banyak sentuhan dan hubungan berlaku dalam kalangan ramai pihak di satu-satu tempat,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau turut mencadangkan peniaga makanan atas talian menyediakan kotak atau bakul khas di hadapan rumah untuk memudahkan penghantar makanan mengambil tempahan pelanggan.
“Saya sendiri (peniaga atas talian) turut menyediakan kotak khas di depan pintu rumah.

Apabila penghantar makanan tiba, saya akan letak makanan yang ditempah ke dalam kotak tadi.
Seterusnya mereka akan ambil dan kemudian beredar membuat penghantaran,” tambahnya.
Jelasnya lagi, pembayaran atas talian menggunakan aplikasi Sarawak Pay juga lebih selamat kerana tiada sentuhan berlaku di antara peniaga, pelanggan dan penghantar makanan.
Pengerusi Pasar Malam Belia N6 Metrocity itu juga mengakui menggunakan khidmat penghantar barangan bagi membeli barangan keperluan rumah, misalnya membeli lampin anak, barangan dapur dan sebagainya.
“Saya akan senaraikan semua barangan yang hendak dibeli dan serahkan kepada mereka.
Tidak semestinya saya gunakan khidmat runner sedia ada malah boleh juga menggunakan khidmat runner persendirian kerana kita juga ingin membantu mereka mencari rezeki pada waktu ini.
“Kita bantu mereka untuk bantu kita dan pada masa yang sama, kita tidak perlu berhadapan dengan ramai orang di pasar dan di luar,” ujarnya.
Dalam kesempatan ini, beliau menyeru semua peniaga dan penjaja pada bulan Ramadan ini untuk meningkatkan tahap kebersihan makanan dan peribadi dalam menyediakan dan melakukan pembungkusan makanan.
“Kepada semua penjaja berniagalah secara berhemah. Kita berniaga mencari rezeki untuk keluarga dan jangan ambil kesempatan pada bulan puasa ini, terutama sekali jangan menipu pelanggan.
“Sama-samalah kita melawan Covid-19 dengan cara sendiri dan mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi,” katanya.

