ARTIKEL

Khiew Hoe Yan raih emas pertama 400m gaya bebas di Sukan SEA 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Penantian panjang Khiew Hoe Yan akhirnya berakhir apabila perenang negara itu meraih pingat emas pertamanya dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki pada Sukan SEA 2025 di Kolam Renang Persatuan Sukan Thailand (SAT) di sini, Selasa.

Khiew menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 minit 50.63 saat, sekali gus membuktikan konsistensi serta keupayaannya untuk bersaing di peringkat serantau.

Perenang berkenaan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 400 meter gaya bebas dengan catatan 3:47.28, dicatatkan pada Sukan Universiti Dunia (FISU WUG 2025) di Jerman pada Julai lalu, terus memperagakan prestasi terbaiknya tahun ini.

Pingat perak dimenangi perenang Vietnam, Van Nguyen Voc Tra dengan catatan 3:53.18, manakala rakan senegaranya Huy Hoang Nguyen meraih gangsa (3:53.50). Seorang lagi wakil negara, Muhammad Dhuha Zulfikry, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan 4:04.29.

Khiew berkata sejak penampilan sulungnya dalam acara itu pada Sukan SEA Hanoi 2021, beliau sering berada di podium namun impian untuk memenangi emas sentiasa tertangguh.

“Saya telah menunggu saat ini sejak 2021 dan akhirnya berjaya merasainya. Namun, saya tidak akan berhenti di sini.

“Saya mahu terus memperbaiki diri, mengejar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurut Khiew, strategi perlumbaan serta fokus terhadap rentak sendiri menjadi kunci kejayaannya pada perlumbaan tersebut.

“Saya berjaya melaksanakan pelan perlumbaan seperti yang dirancang. Saya memastikan diri fokus pada rentak sendiri dan tidak terpengaruh dengan perenang lain,” katanya.

Beliau turut mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi pusingan renang.

“Pusingan saya lebih baik berbanding sebelum ini, namun masih belum mencapai tahap dunia. Masih banyak aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Kemenangan itu menjadi pencapaian peribadi penting dalam karier Khiew selain menyumbang pingat emas kepada pasukan renang Malaysia pada temasya kali ini.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU