ARTIKEL

RASMI….Khalid (dua kanan) dan Donny (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian Program SAFE dalam Majlis Penangguhan Bulan Kebangsaan 2026 Peringkat SMK Three Rivers, hari ini.

Kibar Jalur Gemilang semarakkan semangat patriotisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Semua pihak digesa memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Pegawai Penerangan Daerah Mukah, Khalid Aini berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang kemegahan negara dan tonggak penyatuan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama serta budaya.

TAHNIAH….Khalid menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang bagi Pertandingan Hiasan Menarik sempena Bulan Kebangsaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan identiti negara ini.

“Salah satu cara mudah untuk menunjukkan rasa cinta kepada tanah air adalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Bulan Kebangsaan 2026 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers Mukah, di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Khalid memberitahu bahawa Jabatan Penerangan Malaysia turut melaksanakan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

Tambahnya, inisiatif berkenaan adalah bagi menggalakkan rakyat menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan.

Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers Mukah, Donny Dahlan berkata, pelajar khususnya di sekolah menengah perlu memperkukuh sahsiah, jati diri dan semangat patriotisme bagi membentuk individu yang bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Nilai keperibadian dan cinta akan negara perlu dipupuk sejak di bangku sekolah menerusi penerapan disiplin, sikap saling menghormati, perpaduan dan tanggungjawab.

“Semangat cinta akan negara bukan sekadar dihayati ketika Sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan seharian melalui disiplin diri, rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembentukan sahsiah pelajar juga perlu seiring dengan usaha membendung gejala buli yang boleh menjejaskan emosi, mental dan akademik mangsa.

Ujarnya, Program School Anti-Bullying Framework for Empowerment (SAFE) penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan saling menghormati.

“Program SAFE bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang bahaya buli, malah membantu membentuk budaya sekolah yang lebih selamat dan saling menghormati,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU