KUCHING: Dua rumah pekerja musnah dalam kebakaran sebuah kilang di Jalan Semaba, Batu 5, di sini, petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran yang berlaku pada jam 5.22 petang itu turut memusnahkan sebuah kilang struktur separuh kekal dua tingkat berkeluasan 150 x 100 kaki.


“Kebakaran turut menjejaskan dua kediaman berhampiran serta sebuah rumah jenis berkembar di bahagian hadapan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut JBPM Sarawak, sebuah rumah berkeluasan 60 x 45 kaki dan sebuah lagi berkeluasan 50 x 35 kaki masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 30 peratus.
Sebuah rumah berkembar berkeluasan 45 x 65 kaki pula mengalami kemusnahan kira-kira 75 peratus.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa tiba di lokasi pada jam 5.35 petang, 13 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

“Operasi turut dibantu BBP Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Siburan membabitkan 34 anggota serta tujuh kenderaan dan jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.40 petang selepas anggota bertindak menghalang api daripada merebak ke kilang bersebelahan,” katanya.
JBPM Sarawak berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada bara atau sisa kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Operasi turut dibantu empat anggota polis, lima petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua petugas SESCO.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.





