KUCHING: Kilang pembuatan grafit masih dalam fasa penyelidikan oleh syarikat berkaitan dan diharap dapat digunakan untuk produk lain.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Seri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, berkata perbadanannya antara yang melabur dalam projek tersebut akan mengembangkan pelaburan terutamanya dalam sumber tenaga seperti hidrogen.
“Kita masih mengkajinya, kerajaan telah meminta kita menghasilkan kuasa hidrogen kita sendiri yang boleh dieksport atau digunakan untuk perkara lain.
“Kita berharap dapat menggunakan produk itu nanti sehingga ke produk hiliran terutamanya dalam pembuatan elektrolisis grafit seperti pengeluaran dalam industri kenderaan elektrik (EV).
“Bagaimanapun, projek ini mengambil jangka masa yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Perasmian Bazar Ramadan SEDC 2024 di UTC di sini, hari ini.
Tambahnya, penyumbang paling penting kepada ekonomi Sarawak ialah sumber tenaga dan ia boleh menarik pelabur asing untuk melabur dalam projek terbabit.
Pada 7 Februari lepas, SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Gallois New Energy Materials (M) Sdn Bhd untuk membina sebuah kilang pembuatan grafit bermutu tinggi di Bintulu, Sarawak.
Kilang berkenaan, yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), bakal mengeluarkan grafit semula jadi sfera dan sintetik dengan pelaburan bernilai AS$1.5 bilion (kira-kira RM6.3 bilion).






