KUCHING: Sebuah kilang baharu untuk pemprosesan nanas kini sedang dibina di Sungai Tukau, Miri bagi meningkatkan aktiviti hiliran produk berasaskan tanaman itu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak menyasarkan untuk mengusahakan 20,000 hektar tanah bagi tanaman nanas.
Menurut beliau, dengan peruntukan gabungan RM50.3 juta daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak, kawasan tanaman berjaya ditingkatkan daripada 2,100 hektar pada tahun lalu kepada 3,300 hektar pada tahun ini.
“Sehubungan itu, bagi meningkatkan aktiviti hiliran, sebuah kilang pemprosesan nanas baharu sedang dibina di Sungai Tukau, Miri.
“Inisiatif Perkongsian Awam-Swasta ini dilaksanakan di bawah program Transformasi Industri Nanas (ProTINAS) yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan nanas varieti SG1,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Jelas beliau, kilang ini berfungsi sebagai salah satu komponen di sepanjang rantaian bekalan nanas.
Beliau menambah, sebuah kemudahan pemprosesan nanas milik persendirian di Sibu telah memulakan operasi menghasilkan tart nanas.
Di samping itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Meradong sedang menghasilkan produk nanas kering.
Untuk durian dan pisang, Rundi memberitahu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) akan terus menyokong pembangunan tanaman tersebut dengan RM9.25 juta.
Katanya, ia akan diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan tanaman buah-buahan di seluruh Sarawak yang mana 228 hektar tanah akan dibangunkan, memanfaatkan kira-kira 343 peserta.



