KUCHING: Jaguh tinju Daeloniel Mcdelon, 24, melakar sejarah tersendiri memenangi pertarungan dengan petinju handalan tuan rumah, Artid Bamrungauea kategori Bantam Weight 54 kilogram pada Kejohanan Tinju Persekutuan Asia 2023 yang berlangsung di Thailand sebentar tadi.
Kemenangan dengan tumbukan TKO dilakukan Daeloniel Mcdelon yang lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’ pada pusingan ketiga, sekali gus merampas tali pinggang utama (ABF) daripada bekas juara dunia itu di hadapan penyokong sendiri.
Aksi seimbang diperaga kedua-dua petinju berkenaan pada dua pusingan sebelum itu.
Kilat Boy dilihat lebih agresif mengasak petinju dari negara gajah perang itu sebaik pertarungan memasuki pusingan ketiga dan mudah melepaskan tumbukan padu ke arah muka Artid Bamrungauea.
“Syabas dan tahniah kepada Kilat Boys kerana berjaya memenangi pertarungan tersebut.
Lebih membanggakan, beliau berjaya memenangi tali pinggang utama ABF
“Sejarah baharu bagi dunia sukan tinju Sarawak dan saya percaya seluruh rakyat Sarawak pasti tumpang gembira atas kejayaan itu,” ujar Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo kepada Arena Suara Sarawak.



