KUALA LUMPUR: Demi memastikan watak Datuk Rashid Sidek yang bakal dibawanya dalam filem Sentuhan Wira tampil meyakinkan, bakat baharu, Kim Azzim, kembali ke gelanggang bagi mengasah semula kemahirannya dalam sukan badminton.
Kim, 24, berkata minatnya terhadap sukan berkenaan bermula sejak di bangku sekolah dan beliau pernah menyimpan impian untuk menjadi pemain badminton profesional.

“Walaupun impian itu tidak kesampaian, saya menganggapnya sebagai satu rezeki untuk ‘kembali’ ke dunia badminton dalam bentuk yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Pelakon dan Penaja Rasmi filem Sentuhan Wira, di sini, baru-baru ini.
Mengakui dirinya peminat Rashid, anak muda itu berkata sejak awal sesi uji bakat filem tersebut beliau menyasarkan watak legenda badminton berkenaan.
“Sesi uji bakat mempunyai tiga peringkat, bermula dengan monolog sebelum saya dipanggil ke close casting dan akhirnya diberikan watak Rashid. Sejak awal, saya memilih monolog berkaitan Rashid kerana minat terhadap tokoh itu,” katanya.
Beliau yang dilahirkan pada 2001 berkata, meskipun tidak melalui era kegemilangan Piala Thomas 1992, beliau mengenali sejarah tersebut melalui pendedahan keluarga serta minat terhadap badminton.
“Saya turut mengakui berpeluh dingin semasa pertama kali bersua muka dengan Rashid. Aura beliau sangat kuat, dan beliau seorang yang santai,” katanya.
Kim yang menceburi dunia lakonan pada 2023 turut berjanji akan memberikan penghayatan terbaik dalam menghidupkan watak berkenaan kerana menyedari Rashid merupakan legenda badminton tanah air yang pastinya mengundang perbandingan dalam kalangan peminat.
“Saya akan cuba membawakan watak itu seberapa tepat yang mungkin. Meniru gaya permainan era terdahulu sememangnya mencabar kerana berbeza dengan sekarang, namun dengan masa latihan yang mencukupi, saya yakin dapat melaksanakannya,” katanya yang juga pelakon drama Yang Tahu Je Tahu.
Menjelang penggambaran yang dijangka bermula pada April depan, Kim kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan fizikal serta latihan di gelanggang bagi memperkemaskan permainan dan perincian wataknya.— BERNAMA



