ARTIKEL

Foto: FREEPIX

Kisah oren dan epal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ORANG Melayu dan rakyat Malaysia tidak ada duit hendak membeli barangan China.

Justeru, beliau mengakui tidak mengerti mengapa Presiden Xi Jinping melakukan lawatan ke tiga negara ASEAN — Malaysia, Kemboja dan Vietnam.

Itulah kenyataan yang dibuat oleh Bill O’Reilly, seorang hos TV dan penganalisis politik Amerika Syarikat.     

Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis tuduhan rakyat Amerika itu, kita fikir itu ialah noktah kepada persoalan itu.

Rupa-rupanya tidak.

O’Reilly bagai tidak puas hati, lalu menyerang balik kenyataan Anwar itu.

Anwar berkata, kenyataan Bill O’Reilly mencerminkan xenofobia, perkauman dan Islamofobia bekas hos Fox News itu.

Xenofobia timbul akibat kurang pemahaman, stereotaip, atau rasa terancam terhadap perbezaan budaya.

“Malaysia is mad at me,” kata beliau.

Rakyat Malaysia wajar berang terhadap O’Reilly kerana kenyataannya yang menghina negara ini, khususnya apabila beliau seolah-olah menyamakan Malaysia dengan negara mundur. 

Ucapannya bersifat stereotaip, tidak berasas, dan menunjukkan kurangnya hormat terhadap kedaulatan serta maruah negara.

Sebagai tokoh media antarabangsa, pengaruhnya besar, dan kenyataan negatif dapat mencalarkan imej Malaysia di mata dunia.

Rakyat berhak mempertahankan reputasi negara mereka daripada dihina secara terbuka oleh individu luar yang tidak memahami budaya, kemajuan, dan realiti masyarakat Malaysia yang sebenar.

Kelihatannya beliau tidak dapat membezakan antara Indonesia dengan Malaysia.

Hakikatnya, Obama memang pernah berkunjung ke Malaysia, tetapi tidak pernah membesar di negara ini seperti didakwa beliau.

Presiden ke-44 AS itu sebenarnya pernah tinggal di Menteng, Jakarta Pusat ketika berusia enam hingga 10 tahun bersama-sama ibunya, Stanley Ann Dunham, dan ayah tirinya, Lolo Soetoro.  

O’Reilly mendakwa pernah berkunjung ke Malaysia, dan menyifatkan negara ini sebagai cantik, tetapi complicated.

Tidak pula beliau menjelaskan maksud complicated.

Bagi yang pertama kali mendengar nama lelaki berusia 76 tahun itu, beliau ialah tokoh media yang terkenal di AS.

Beliau dilahirkan di New York City dan dikenali secara meluas menerusi rancangan The O’Reilly Factor yang disiarkan di Fox News dari 1996 hingga 2017.

O’Reilly sering dikritik kerana gaya retorikanya yang konfrontatif atau berseteru dan bias politik yang ketara dalam penghujahan dan wacananya.

Sebagai tokoh Fox News, beliau kerap memicu kontroversi dengan komentar dan ulasan yang dianggap ofensif atau tidak sensitif, serta dianggap lebih mengutamakan sensasi daripada objektiviti jurnalistik. 

Pendekatannya yang memonopoli perbincangan dan menyerang lawan bicara dianggap mengganggu dan merosakkan iklim diskusi sihat.

Meski memiliki pengaruh besar dalam kalangan konservatif, banyak yang melihatnya lebih sebagai pengulas dan penganalisis partisan daripada jurnalis berkecuali. 

Kewibawaannya juga tergoncang akibat tuduhan pelecehan seksual.

Pada 2017, O’Reilly telah dipecat dari Fox News selepas satu laporan oleh The New York Times mendedahkan bahawa beliau telah menyelesaikan lima saman yang melibatkan salah laku seksual.

Sejak itu, O’Reilly telah mengacarakan audio siar No Spin News.

Sebenarnya, beliau bertolak daripada asas yang lemah. 

O’Reilly membuat perbandingan antara pendapatan per kapita Malaysia sebanyak USD5,735 dengan AS sebanyak USD42,220.

Ya, lapan kali ganda bezanya.

Adakah perbandingan O’Reilly itu wajar atau beliau bagai membandingkan oren dengan epal?

Kejahilan beliau terdedah kepada umum apabila O’Reilly menyatakan bahawa bekas Presiden AS Barack Obama pernah tinggal di Malaysia. 

Perbandingan pendapatan per kapita antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak wajar kerana terdapat perbezaan ketara dari segi tahap pembangunan ekonomi, struktur sosial, kos sara hidup, dan mata wang antara kedua-dua negara.

Kos sara hidup di AS jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

Sebagai contoh, barangan asas, perkhidmatan kesihatan, dan pendidikan di AS jauh lebih mahal.

Oleh itu, walaupun pendapatan per kapita di AS lebih tinggi, kuasa beli sebenar mungkin tidak setinggi yang disangka.

Sebaliknya, pendapatan yang lebih rendah di Malaysia mungkin mencukupi bagi menampung keperluan asas rakyatnya kerana kos sara hidup yang lebih rendah. 

Pendapatan di Malaysia mungkin sahaja rendah berbanding di AS, tetapi untuk mengekalkan gaya hidup yang selesa, tentu tidak sama.

Misalnya, RM5,000 di Malaysia dapat digunakan untuk membayar sewa rumah atau membayar rumah, pengangkutan, dan makanan.

Tetapi adakah USD5,000 mencukupi untuk membayar sewa rumah di New York?

Seyogia diingat AS merupakan sebuah negara maju dengan ekonomi terbesar di dunia, manakala Malaysia ialah negara membangun yang sedang dalam proses menuju status negara berpendapatan tinggi.

Ekonomi AS lebih matang dan kompleks, disokong oleh teknologi canggih, sektor perkhidmatan yang dominan serta industri berasaskan inovasi.

Sebaliknya, ekonomi Malaysia masih bergantung pada sektor perkilangan, komoditi, dan pelancongan. Perbezaan ini menjadikan asas perbandingan tidak setara.

Nilai mata wang juga mempengaruhi perbandingan ini.

Pendapatan per kapita biasanya diukur dalam dolar AS, jadi kadar pertukaran memainkan peranan penting.

Kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar akan menyebabkan pendapatan per kapita Malaysia kelihatan lebih rendah walaupun kuasa belinya tidak semestinya begitu.

Pendapatan per kapita bermaksud purata pendapatan tahunan yang diterima oleh setiap individu dalam sesebuah negara. Ia dikira dengan membahagikan jumlah pendapatan negara dengan jumlah penduduk. 

Implikasinya, seorang bilionair akan memungkinkan angka kelihatan hebat walaupun hakikatnya, jutaan rakyat lagi berjuang untuk hidup.

Jelaslah, purata berkenaan adalah sesuatu yang bukan sahaja boleh mengelirukan, malah menipu dan memperdayakan. 

Faktor sosial seperti tahap pendidikan, akses kepada kemudahan asas termasuk kemudahan kesihatan, dan jaringan keselamatan sosial turut berbeza, mempengaruhi kualiti hidup secara keseluruhan.

Tentu kadar yang dikenakan untuk cak perkhidmatan doktor tidak sama di AS dengan Malaysia. 

Maka, perbandingan pendapatan per kapita antara Malaysia dengan AS adalah tidak wajar kerana ia tidak mengambil kira konteks ekonomi dan sosial yang berbeza antara kedua-dua negara.

Dakwaan bahawa Malaysia tidak mempunyai wang oleh lelaki AS itu bukan sahaja tidak wajar, malah menggambarkan kejahilannya.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan penulis prolifik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU