USIA datang tanpa bunyi. Tiada yang mendengar langkahnya. Tiada loceng yang berbunyi apabila rambut hitam mula memutih.
Tiada juga amaran apabila cermin mula memperlihatkan garis-garis halus yang suatu ketika dahulu tidak pernah wujud. Kita hanya menyedarinya sedikit demi sedikit.
Suatu pagi ketika menyisir rambut, petangnya pula ketika membaca menggunakan cermin mata. Atau ketika menaiki tangga dan terasa nafas tidak lagi sepanjang dahulu. Ohh kita semakin menua.
Saya dan kalian semua semakin tua! Adakala saya bercakap kepada diri sendiri, apakah tahun depan usia saya sampai ke sana? Apakah saya sempat melihat anak-anak saya bekerja, berkahwin dan melihat cucu saya? Dan, begitulah usia bekerja. Perlahan tetapi pasti.
Semasa muda, kita sering menganggap masa begitu panjang. Sehari terasa lambat berlalu. Setahun bagaikan terlalu lama untuk dinantikan.
Kita percaya masih banyak peluang di hadapan. Masih banyak masa untuk mengejar impian. Masih banyak hari untuk pulang menemui ibu bapa. Masih banyak kesempatan untuk meminta maaf kepada sahabat.
Kita hidup seolah-olah masa ibarat sesuatu yang tidak akan pernah habis.
Rupanya kita silap. Semakin usia meningkat semakin pantas masa bergerak. Tahun berganti seperti helaian kalendar yang diterbangkan angin. Belum pun reda sambutan tahun baharu sudah tiba hujung tahun yang berikutnya.
Anak-anak yang dahulu dipimpin melintas jalan kini memandu kereta sendiri. Rumah yang ketika dahulu riuh dengan suara mereka perlahan-lahan menjadi sunyi.
Yang tinggal hanyalah bilik yang kemas dan kenangan yang sesekali mengetuk pintu hati.
Barangkali itulah harga sebuah kehidupan. Kita memperoleh sesuatu, pada masa yang sama kita melepaskan sesuatu yang lain.
Menjadi tua mengubah cara kita mentafsir kejayaan. Dahulu kejayaan sering dikaitkan dengan pangkat. Gaji. Rumah yang lebih besar. Kereta yang lebih mahal.
Kita berlumba-lumba untuk memiliki lebih banyak daripada orang lain.
Kita menyangka kebahagiaan boleh diukur melalui angka. Itu benar. Masa remaja, saya mengimpikan memandu kereta sendiri, duduk di rumah sendiri dan sekarang apabila semuanya berlaku, rupanya ia tidak lagi penting.
Namun, pengalaman menjadi guru yang tidak pernah gagal mengajar. Sampai satu tahap, kita mula menyedari kekayaan sebenar tidak selalu tersimpan di dalam akaun bank.
Ia mungkin berada di meja makan ketika seluruh keluarga dapat duduk bersama. Ia mungkin hadir dalam panggilan telefon daripada anak yang sekadar mahu bertanya khabar.
Ia mungkin lahir daripada secawan kopi yang dinikmati bersama-sama sahabat lama yang masih setia mendengar cerita.
Ada perkara yang hanya difahami apabila usia semakin matang. Kita belajar, tidak semua perbezaan pendapat perlu berakhir dengan kemenangan. Tidak semua kritikan perlu dijawab. Tidak semua kesilapan orang lain perlu dihukum.
Semakin lama kita hidup, semakin kita sedar manusia sedang bergelut dengan beban yang tidak selalu kelihatan.
Saya sudah tidak perlu peduli jika ada kakitangan mengadu si polan mengumpat, si polan memuji — saya sudah tiada hati untuk kecil hati — contoh sahaja. Sebab itu, hati kita menjadi semakin lembut.
Kita belajar memaafkan walaupun tidak diminta. Kita mengelakkan permusuhan yang tidak membawa apa-apa manfaat. Bukan kerana kita sudah lemah tetapi kerana memahami bahawa ketenangan jauh lebih berharga daripada ego.
Usia juga memperkenalkan kita kepada kehilangan. Pada mulanya seorang dua. Kemudian semakin ramai. Guru yang pernah mendidik kita. Jiran yang selalu menegur dari halaman rumah. Sahabat yang pernah ketawa sehingga lewat malam.
Seorang demi seorang insan yang kita kenal meninggalkan pentas kehidupan. Sehingga kita berasa apakah kita selepas ini?
Hidup ini hanya pinjaman. Tidak ada seorang pun yang memiliki hak untuk tinggal selama-lamanya.
Aneh sekali. Dahulu kita takut menjadi tua. Kini kita memahami menjadi tua sebenarnya satu keistimewaan. Tidak semua orang diberikan peluang itu.
Ramai yang meninggalkan dunia ketika cita-cita masih belum selesai. Ketika anak-anak masih kecil. Ketika ibu bapa masih mengharapkan kepulangan mereka.
Sebab itu, setiap hari yang masih dikurniakan kepada kita sebenarnya membawa satu amanah.
Amanah untuk hidup dengan lebih baik daripada semalam. Amanah untuk menghargai mereka yang masih berada di sisi. Amanah untuk meninggalkan kenangan yang baik sebelum tiba giliran kita pula melangkah pergi.
Sesekali kita berdiri di hadapan cermin, janganlah terlalu gusar melihat ada yang tidak lagi seperti dahulu.
Di sebalik setiap garis pada wajah itu tersimpan cerita. Ada cerita tentang pengorbanan. Ada cerita tentang air mata yang disembunyikan. Ada cerita tentang kegagalan yang akhirnya melahirkan kejayaan.
Dan ada cerita tentang kasih sayang yang tidak pernah meminta balasan.
Barangkali itulah yang dinamakan kematangan. Kita tidak lagi mengejar kehidupan dengan terburu-buru.
Sebaliknya kita belajar menikmati perjalanan. Kita belajar matahari terbit setiap pagi bukan sekadar mengingatkan tentang bermulanya hari baharu.
Ia juga mengingatkan kita masih diberi satu lagi peluang untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam.
Akhirnya kita akan sampai pada satu kesimpulan yang sama. Hidup bukan pertandingan untuk menentukan siapa yang paling berjaya. Hidup merupakan perjalanan untuk memahami apa yang benar-benar bernilai.
Dan apabila sampai masanya nanti, kita berharap bukan harta atau kedudukan yang dikenang orang.
Cukuplah jika kita diingati sebagai seseorang yang pernah berbuat baik. Pernah menghulurkan tangan ketika orang lain memerlukan. Pernah menyayangi tanpa syarat.
Kerana pada akhirnya kita semua sedang menjadi tua. Yang membezakan kita hanyalah bagaimana kita memilih untuk mengisi usia yang semakin berkurang itu.
Hiduplah dengan menghabiskan sisa usia kita dengan tenang dan bahagia di samping orang tersayang. Jadilah warga emas terbahagia sebelum menutup mata.






