ARTIKEL

Jaga data privasi kita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan.

Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita boleh memperoleh keuntungan sehingga RM10,000.

Tempoh masa, hanya tiga bulan. Saya juga ada menerima panggilan telefon kononnya daripada syarikat telekomunikasi yang mengatakan saya memenangi satu peraduan yang langsung tidak pernah saya sertai.

Malah, ketika awal tahun 2000 lagi, saya ada menerima panggilan yang menawarkan produk. Yang peliknya, pemanggil itu tahu nombor telefon, kad pengenalan, malah di bank mana akaun saya dibuka.

Bagaimana mereka mengetahui maklumat saya? Terkini, ada yang memasukkan nombor telefon saya dalam kumpulan WhatsApp dan Telegram. Apabila disemak setiap nombor telefon dalam kumpulan itu, tiada satu pun yang saya kenal.

Adakah ini kebetulan? Tidak mungkin. Dalam kes ini, ramai antara kita pernah mengalami detik yang sama, lalu kita tertanya-tanya: Adakah kita sedang diperhatikan dan siapakah yang menyimpan jejak kita?

Hakikatnya, setiap kali kita membuka aplikasi, pada telefon pintar mengimbas kod QR, mendaftar keahlian kedai atau sekadar menekan butang “Setuju”, kita meninggalkan jejak digital. Nama, nombor telefon, alamat, lokasi, rakan, minat, malah waktu kita tidur dan bangun.

Rahsia kecil

Satu jejak nampak kecil, tetapi apabila dikumpul bertahun-tahun, ia menjadi gambaran yang sangat terperinci tentang siapa kita. Di sinilah silapnya anggapan bahawa privasi hanyalah “rahsia kecil”. Ada yang berkata, “Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan.” Ayat ini kedengaran tenang, tetapi mengelirukan.

Privasi bukan tentang menyembunyikan kesalahan. la tentang hak menentukan siapa yang boleh tahu apa-apa tentang kita, bila dan untuk tujuan apa. Jadi, siapakah yang menggunakan data kita?

Pertama, syarikat teknologi dan platform media sosial. Banyak model perniagaan mereka bergantung pada iklan bersasaran. Perkhidmatan yang kita nikmati secara “percuma” sebenarnya dibayar dengan perhatian dan maklumat kita. Ada kata-kata yang sering diulang. Jika anda tidak membayar untuk sesuatu produk, mungkin andalah produknya.

Kedua, peniaga, institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan. Data digunakan untuk menilai kelayakan pinjaman, menawarkan promosi atau menyesuaikan harga. Sebahagiannya sah dan memberi kemudahan. Namun ada juga yang dikongsi atau dijual kepada

pihak ketiga yang tidak kita kenali. Pernahkah anda menerima panggilan atau mesej ringkas melalui SMS, WhatsApp dan Telegram daripada syarikat yang tidak pernah anda hubungi, tetapi tahu nama penuh anda?

Ketiga, agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang mengumpul data untuk tujuan pentadbiran, keselamatan dan perancangan. Tujuannya wajar, tetapi ia menuntut ketelusan dan pengawasan.

Data yang dikumpul perlu disimpan dengan selamat, digunakan mengikut tujuan asal dan dilupuskan apabila tidak lagi diperlukan. Kepercayaan rakyat hanya terpelihara jika amanah ini dijaga.

Keempat, dan paling membimbangkan, penjenayah siber. Kes kebocoran data yang dilaporkan dari semasa ke semasa menunjukkan betapa mudah maklumat peribadi tersebar.

Dengan adanya nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan nombor telefon, penipu boleh menyamar sebagai pegawai bank, pihak berkuasa atau sanak- saudara, lalu memerangkap mangsa. Banyak kes penipuan dalam talian bermula daripada maklumat yang bocor atau diberikan dengan terlalu mudah.

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 menjadi asas undang-undang agar data peribadi diproses dengan persetujuan dan dilindungi.

Pindaan terkini turut menguatkan tanggungjawab pengendali data, termasuk kewajipan melaporkan kebocoran data.

Akta ini memberi perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang individu yang diproses untuk tujuan transaksi komersial.

Siapa yang perlu mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi?

Semua individu dan organisasi yang memproses data peribadi dalam urusan mereka mesti mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam akta ini.

Sebarang data yang membolehkan seseorang individu yang masih hidup dikenal pasti adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Data peribadi

Data boleh dianggap sebagai data peribadi selagi seseorang individu yang masih hidup boleh dikenal pasti daripada maklumat atau data tersebut iaitu nama dan alamat; nombor kad pengenalan; nombor pasport; maklumat kesihatan; alamat e-mel; gambar; imej dalam rakaman litar tertutup (CCTV) dan maklumat dalam fail peribadi.

Namun undang-undang sahaja tidak mencukupi. Penguatkuasaan mungkin tidak sempat mengejar kepantasan teknologi, maka kesedaran pengguna kekal sebagai benteng pertama.

Baca kebenaran yang diminta oleh sesebuah aplikasi sebelum menekan “Setuju”, dan tolak akses yang tidak berkaitan. Gunakan kata laluan yang kukuh dan pengesahan dua faktor (2FA). Berhati-hati berkongsi gambar kad pengenalan, tiket atau dokumen peribadi di media sosial.

Tanya mengapa sesuatu maklumat diminta. Kedai runcit tidak perlu mengetahui nombor kad pengenalan anda hanya untuk satu pembelian.

Ibu bapa pula perlu lebih peka. Anak-anak membesar dalam dunia digital tanpa memahami bahawa jejak mereka kekal lama. Gambar yang dimuat naik hari ini mungkin dilihat oleh majikan, pasangan atau penipu pada masa hadapan.

Jadi, pendidikan celik digital perlu bermula di rumah dan di sekolah, sama seperti kita mengajar anak-anak mengunci pintu dan tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali.

Akhirnya, privasi umpama kunci rumah. Kita jarang memikirkannya ketika ia selamat, dan baru menyedari nilainya selepas ia hilang.

Data kita merupakan sebahagian daripada diri kita, merangkumi identiti, hubungan dan kebebasan membuat pilihan. Soalan “siapa yang menggunakan data kita?” wajar menjadi kebiasaan yang kita tanya setiap kali diminta berkongsi maklumat, bukan kebimbangan yang timbul selepas kita menjadi mangsa.

Jika kita tidak menjaga data kita, orang lain akan menggunakannya, sama ada dengan niat baik atau jahat.

BERITA LAIN

Kepercayaan memakan diri

DUA hari lalu, polis Saratok mendedahkan seorang wanita warga emas dari Kabong terpedaya oleh seorang bomoh palsu dari Sibu. Terpedaya itu bukan seribu dua, belasan

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

BERITA TERBARU

15 penerima peruntukan khas Perdana Menteri di Mukah

MUKAH: Majlis Sambutan Warga Emas Mukah bukan sahaja menjadi wadah menghargai golongan berusia, malah turut menyaksikan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan bagi menyokong keperluan masyarakat