ARTIKEL

ART pelaburan jangka panjang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa hampir dua jam, atau lebih setiap hari, merupakan pengalaman yang meresahkan. 

Ia didorong peningkatan jumlah kenderaan berdaftar yang kini mencecah sekitar 2 juta di seluruh Sarawak, serta pembangunan kawasan perumahan dan pertumbuhan aktiviti perniagaan. 

Ia bukan sahaja menjadi rungutan pengguna jalan raya, tetapi persoalan tentang kualiti kehidupan dan produktiviti ekonomi. Penduduk yang menghadapinya menghabiskan masa sekurangkurangnya 44 jam sebulan atau lebih 500 jam setahun di jalan raya. 

Kajian mendapati seorang pekerja kerugian produktiviti sekitar RM308 sebulan akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. 

Terlalu lama di jalan raya menyebabkan tekanan dan boleh mengganggu emosi serta produktiviti sekali gus menjejaskan persekitaran kerja. 

Duduk di dalam kereta terlalu lama juga menyebabkan sakit belakang dan bermacam-macam masalah kesihatan lain. 

Oleh itu, pelaksanaan sistem Pengangkutan Aliran Autonomi atau Autonomous Rapid Transit (ART) bukan sekadar usaha memperkenal kenderaan moden di jalan raya, malah mencerminkan aspirasi Sarawak untuk membina sistem mobiliti lebih cekap, teratur dan selesa untuk rakyat dalam menghadapi pembangunan yang semakin pesat. 

Bagi wilayah besar seperti Bumi Kenyalang, pembangunan infrastruktur pengangkutan memainkan peranan penting dalam menentukan kelancaran pertumbuhan ekonomi, kemajuan bandar dan kesejahteraan 2.54 juta penghuni. 

Pertambahan penduduk, peningkatan jumlah kenderaan serta perkembangan kawasan perumahan baharu menjadikan keperluan terhadap sistem pengangkutan awam yang berkesan semakin mendesak. 

Oleh itu, projek ART yang sedang rancak dibina, merupakan pendekatan terbaik untuk membantu mengubah landskap pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik, terutama pada waktu puncak, terutama di Kuching, Kota Samarahan, dan sekitarnya. 

Ujian bukti konsep ART di Kuching disasarkan bermula penghujung tahun ini. Laluan Biru ketika itu mencatat kemajuan fizikal 88 peratus, berbanding sasaran perancangan 97 peratus, manakala pembinaan Laluan Hijau dijangka bermula pada suku pertama 2027. 

ART yang bernilai sekitar RM6 bilion adalah masa depan kita di negeri ini. ART yang dibangunkan menerusi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) merupakan antara projek infrastruktur penting dalam memodenkan pengangkutan awam di Sarawak. 

Perancangan KUTS Fasa 1 merangkumi tiga laluan utama, Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau, dengan jumlah jajaran yang dirancang sekitar 69.9 kilometer serta 28 stesen. 

Rangkaian ini dirancang untuk menghubungkan kawasan penting di Greater Kuching. 

Laluan Biru menghubungkan kawasan Rembus di Kota Samarahan dengan kawasan Hikmah Exchange di Kuching. Laluan ini penting kerana menghubungkan kawasan yang berkembang pesat dengan pusat bandar. 

Laluan Merah pula dirancang menghubungkan Kuching Sentral dengan Pending, manakala Laluan Hijau menghubungkan Pending dengan kawasan Bulatan Yayasan Sarawak di Petra Jaya. 

Perancangan ini bertujuan memperluas pilihan perjalanan penduduk merentasi kawasan bandar.

Perjalanan lebih tersusun 

Hubungan yang lebih baik antara kawasan perumahan, pusat pekerjaan dengan pusat perniagaan berpotensi menyokong kegiatan ekonomi serta menggalakkan pembangunan yang lebih tersusun. 

Penduduk Kota Samarahan, misalnya, memerlukan kemudahan perjalanan yang boleh dipercayai untuk berulang-alik ke Kuching. 

Begitu juga penduduk kawasan lain yang setiap hari bergantung pada jalan raya untuk urusan pekerjaan, pendidikan dan perniagaan. 

Rangkaian yang luas hanya memberikan manfaat maksimum apabila setiap laluan beroperasi dengan baik dan mempunyai hubungan yang berkesan dengan perkhidmatan pengangkutan lain. 

Berbeza daripada sistem rel konvensional, ART Sarawak menggunakan kenderaan berkuasa sel hidrogen yang bergerak di atas tayar, dengan laluan dan infrastruktur khusus. 

Sistem ini menjadi tunjang kepada rangkaian KUTS yang turut disokong oleh bas pengantara berkuasa hidrogen. 

Pendekatan ini memperlihatkan kesungguhan Sarawak dalam meneroka teknologi pengangkutan yang sesuai dengan aspirasi pembangunan negeri. ART bakal menyediakan perjalanan yang lebih teratur, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan meningkatkan akses kepada tempat kerja, institusi pendidikan, pusat perniagaan serta kemudahan awam. 

Ia berpotensi mengubah cara penduduk Greater Kuching bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain. ART boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bergantung kepada sejauh mana sistem itu mampu menarik pengguna meninggalkan kenderaan persendirian. 

Jika perjalanan menggunakan ART lebih konsisten, stesen mudah diakses dan pertukaran kepada bas pengantara berjalan lancar, masyarakat mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk menggunakan pengangkutan awam. 

Sebaliknya, jika penumpang masih perlu menunggu lama, menghadapi kesukaran untuk sampai ke stesen atau terpaksa menggunakan kenderaan lain bagi menyambung perjalanan, mereka mungkin terus memilih kereta sendiri. 

Namun ART dibangunkan sebagai satu sistem perjalanan yang lengkap, bukan sekadar menyediakan kenderaan dan stesen. 

Penyelarasan jadual, kemudahan parkir, laluan pejalan kaki, akses kepada penunggang basikal serta perkhidmatan bas pengantara perlu diberikan perhatian yang sama penting. 

Misalnya, ART akan tiba di stesen setiap 15 minit, serta tambang yang sangat berpatutan. 

Matlamat akhir bukan hanya memindahkan penumpang dari satu stesen ke stesen lain, tetapi memudahkan perjalanan rakyat secara keseluruhan. 

Sebagai negara peneraju, China telah pun menggunakan ART di beberapa bandar besar seperti, Shanghai, Chengdu, Zhuzhou, Suzhou, Xianyang dan Yibin. 

Manakala Australia telah pun menjalankan ujian rintis untuk membawa masuk ART di kawasan pinggir bandar Perth bagi mengukuhkan hab pengangkutan awam utama dan mengurangkan kebergantungan penggunaan kenderaan peribadi. 

Qatar turut menjalankan ujian rintis sistem ART, bagi memastikan tren ini mampu beroperasi secara optimum dalam cuaca panas ekstrem di Timur Tengah bagi menyokong sistem pengangkutan bandar. 

Realitinya ART bukan sekadar memodenkan sisten pengangkutan, tetapi juga menjadi alternatif penyelesaian kesesakan. 

Ia merupakan pelaburan jangka panjang Kerajaan Sarawak, demi kemakmuran masa depan rakyat di negeri ini. 

Pulau Pinang antara negeri yang turut membangunkan ART, tetapi mereka mendapat pembaiayaan daripada Kuala Lumpur, namun Sarawak membiayai sendiri kos pelaksanaan.

BERITA LAIN

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

Jangan cepat menghukum

SAYA tidak tahu apakah sebenarnya yang bermain dalam fikiran pelajar yang terlibat dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuching baru-baru ini. Kita mungkin membaca laporan

BERITA TERBARU

KCFC sedia cabar Gangwon

KUCHING: Kuching City FC dan Gangwon FC bakal berentap dengan misi sama untuk memburu kemenangan sulung dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027