KUCHING: Kuching City FC dan Gangwon FC bakal berentap dengan misi sama untuk memburu kemenangan sulung dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Gangneung, Korea Selatan, petang esok.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, pertembungan ketiga kumpulan itu dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan, sekali gus memerlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan masing-masing.
“Kita tahu Gangwon tidak memperoleh keputusan baik dalam liga domestik, begitu juga dengan pasukan kami. Bagaimanapun, perlawanan esok berbeza kerana kedua-dua pasukan sangat memerlukan kemenangan.
“Sudah tentu kedua-dua pasukan akan berjuang habis-habisan.
Kami perlu memberikan tumpuan kepada corak permainan sendiri,” katanya pada sidang media praperlawanan di Gangneung, hari ini.
Aidil mengakui Gangwon memiliki kekuatan tersendiri menerusi corak permainan tersusun, namun yakin anak buahnya mampu memberikan tentangan sepanjang 90 minit sekiranya berjaya melaksanakan perancangan dengan berkesan.
Mengulas persiapan, beliau berkata, pemain Kuching City semakin menyesuaikan diri dengan cuaca dingin di Gangneung yang mencatat suhu sekitar 12 darjah Celsius, selepas menjalani beberapa sesi latihan sejak tiba di Korea Selatan.
“Cuaca di sini semakin sejuk, tetapi pemain dapat menyesuaikan diri dengan baik. Hari ini sesi latihan terakhir dan saya berharap kami dapat memberikan tentangan sengit esok,” jelasnya.






