KUCHING: Real Madrid secara rasmi memohon maaf kepada rakyat China hari ini susulan kontroversi kenyataan penyerang sensasinya, Kylian Mbappe yang mencetuskan kecaman sehingga menjejaskan hubungan komersial pemain itu dan penyiaran La Liga di negara berkenaan.
Menerusi kenyataan rasmi, kelab gergasi Sepanyol itu menyatakan kekesalan ke atas sebarang perasaan tersinggung yang timbul akibat kenyataan Mbappe, selain menegaskan penghormatan sejarah, budaya dan masyarakat China.
“Real Madrid ingin menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat China atas sebarang rasa tidak senang yang mungkin timbul akibat kenyataan terbaharu pemain kami, Kylian Mbappe.
“Kelab kami amat menghormati China, sejarah, budaya dan rakyatnya, termasuk jutaan penyokong China yang mempunyai hubungan erat serta memberikan sokongan kepada Real Madrid,” menurut kenyataan itu.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas rakaman temu bual Mbappe dalam sebuah siar audio Perancis tersebar, apabila pemain antarabangsa Perancis itu dilaporkan membuat kenyataan mengenai imej olahan digital yang dikaitkan dengan bekas pemimpin China, Mao Zedong.
Rakaman tersebut mencetuskan kecaman dalam kalangan masyarakat China, dengan beberapa syarikat tempatan termasuk jenama minuman dilaporkan menamatkan kerjasama komersial bersama Mbappe.
Kumpulan Media China (CMG), yang mengendalikan penyiaran televisyen negara itu, turut mengambil tindakan menggantung siaran perlawanan La Liga susulan kontroversi tersebut, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pemain dan kelabnya.
Mbappe sebelum ini mengemukakan permohonan maaf secara terbuka pada 27 Oktober dengan mengakui kenyataannya tidak wajar serta memahami bahawa kata-katanya telah menyinggung perasaan masyarakat China.
Real Madrid turut menyatakan sokongan permohonan maaf pemain berusia 27 tahun itu sambil menegaskan bahawa Mbappe sendiri telah menyatakan kekesalan dan penghormatannya terhadap masyarakat China.
Real Madrid menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan nilai saling menghormati, keharmonian dan persefahaman antara budaya, selain berusaha memperkukuh hubungan persahabatan dengan masyarakat China.
Kelab itu turut berharap kontroversi berkenaan tidak menjejaskan hubungan jangka panjang dengan jutaan penyokongnya di China, yang merupakan antara pasaran penting bola sepak Sepanyol di peringkat antarabangsa.






