MUKAH: Kempen Liga Setia Raja MUFA 2026 (LSRM 2026) yang sebelum ini dijadual bermula pada 7 November ditunda hingga 14 November depan.
Pengerusi LSRM 2026, Abdul Rahman Saibi memberitahu, penundaan tarikh pembukaan liga berkenaan disebabkan pertembungan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Berlaku perubahan tarikh pembukaan LSRM 2026.
Sebelum ini dijadual berlangsung pada 7 November.
“Disebabkan pertembungan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia ditukar pada 14 November,” ujar Abdul Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, perubahan tarikh tersebut sudah dimaklum kepada semua pengurus pasukan terlibat.
Beliau memberitahu, setakat ini 15 pasukan mewakili pelbagai kelab sudah mengesahkan penyertaan LSRM 2026.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MUFA) memberitahu saingan LSRM 2026 menyaksikan hadiah wang tunai RM33,000 keseluruhan menanti tiga kelompok pasukan terbaik.
Katanya, pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM15,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara akan menerima wang tunai RM8,000 selain piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Katanya, Stadium Mukah, Padang Mesra MDDM dan Padang KPSU akan menjadi gelanggang rasmi sepanjang berlangsung LSRM 2026.
Beliau akui, LSRM 2026 dianjurkan oleh MUFA dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen P213 Mukah.






