ARTIKEL

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM politik, kata-kata adalah senjata.

Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya.

Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan yang dianggap menghina atau keengganan menarik balik kenyataan boleh menyebabkan seseorang wakil rakyat hilang hak untuk berada dalam Dewan, walaupun dipilih oleh ribuan pengundi.

Itulah yang berlaku kepada dua wakil rakyat DAP, Chong Chieng Jen dan Violet Yong Wui Wui, dalam persidangan terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, baru-baru ini.

Chong, ADUN Padungan merangkap Pengerusi DAP Sarawak, digantung mulai 15 Oktober hingga persidangan berakhir pada 21 Oktober 2026.

Lima hari kemudian, Violet, ADUN Pending, pula diarahkan keluar Dewan selama sehari.

Adakah ia disengajakan?

Kedua-duanya adalah wakil tunggal pembangkang dan hanya kedua-duanya yang dikenakan tindakan disiplin sepanjang persidangan itu berlangsung.

Bagi Chong, penggantungan bukan perkara baharu.

Sejak pertama kali memenangi kerusi DUN pada 2006, beliau berulang kali berdepan tindakan disiplin akibat kenyataan, dakwaan dan pertikaian mengenai pentadbiran negeri.

Rekod retrospektif menyebut tindakan terhadap beliau pernah dikenakan seawal 2006 dan 2008.

Laporan pada Mei 2009 pula menyebut beliau pernah digantung kira-kira enam bulan pada 2008, antaranya dikaitkan dengan kritikan terhadap Speaker.

Pada 11 November 2009, Chong digantung selepas mendakwa Menteri Kewangan Sarawak ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menguasai 80 peratus peruntukan pembangunan negeri.

Pada 18 Mei 2010, hukuman lebih berat menyusul — 12 bulan – garagara kenyataan mengenai projek tebatan banjir Kuching dan dakwaan terhadap Datuk Daud Abdul Rahman berkaitan seorang penjaja di Gambier Street.

Usul tersebut diluluskan dengan 54 undi menyokong dan enam menentang.

Penggantungan selama setahun bukan hukuman kecil.

Ia bermakna wakil rakyat tidak dapat menyertai persidangan sepanjang tempoh tersebut, sedangkan tanggungjawab perwakilan tidak terhenti hanya kerana berlaku pertikaian dalam Dewan.

Pada 26 November 2013, Chong sekali lagi digantung kerana enggan menarik balik kenyataan yang membandingkan tingkah laku Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan ahli politik UMNO.

Pada 15 Disember 2015, ungkapan

“David Copperfield accounting” ketika mengkritik Belanjawan Sarawak 2016 membawa kepada penggantungan sehingga tamat persidangan.

November 2016 menyaksikan satu lagi pertikaian apabila Chong mempersoalkan RM250 juta daripada keseluruhan RM905.9 juta peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Keengganan menarik balik dakwaan menyebabkan beliau digantung sehingga 30 November.

Kemudian, pada 15 Oktober 2026, ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027, Chong membangkitkan dakwaan mengenai ketelusan urusan penyewaan jet eksekutif Kerajaan Negeri.

Dakwaan itu dipertikaikan kerana menurut usul penggantungan, beliau gagal mengemukakan bukti konkrit.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin membentangkan usul yang turut menyentuh penggunaan bahasa dianggap menghina serta pelanggaran Peraturan Mesyuarat 32(4), 32(6), 32(10)(b) dan 32(12).

Keputusannya, 62 undi menyokong, satu menentang dan satu berkecuali.

Berbeza dengan Chong, sejarah tindakan disiplin Violet memperlihatkan beberapa bentuk hukuman yang tidak semuanya merupakan penggantungan.

Pada 17 November 2014, beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana enggan menarik balik kenyataan terhadap Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkaitan isu pembalakan haram.

Usul diluluskan dengan 30 undi menyokong dan 12 menentang.

Pada 14 November 2018, Violet didenda RM2,000 kerana menghina Dewan dan Speaker menerusi hantaran Facebook berhubung angka emolumen Speaker yang dipertikaikan.

Usul berkenaan menerima 62 undi menyokong dan lapan menentang.

Pada 11 November 2020, ucapannya mengenai komposisi kaum dalam perkhidmatan awam negeri dihentikan dan sebahagiannya dipadam daripada Hansard.

Pada 22 Mei 2025, sebahagian ucapan termasuk pantun, dipadam kerana dianggap melanggar Peraturan Mesyuarat 32(4), 32(5) dan 32(6). Kemuncaknya berlaku pada 20 Oktober 2026.

Sehari sebelumnya, Violet membantah tindakan Lee mengkritik pendirian Chong mengenai cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dan projek infrastruktur strategik lain, ketika Chong sedang menjalani penggantungan.

Violet menyifatkan Lee sebagai “political coward” atau pengecut politik.

Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar memutuskan ungkapan tersebut tidak berparlimen dan mengarahkan ia dipadam daripada Hansard.

Violet enggan menarik balik kenyataannya dan mencabar keputusan tersebut sebelum diarahkan keluar. Beliau dibenarkan kembali pada 21 Oktober.

Maka, daripada lima peristiwa disiplin yang dikenal pasti sejak 2014, hanya tindakan 2026 jelas melibatkan larangan menghadiri persidangan selama sehari.

Dalam DUN yang mempunyai 82 kerusi, GPS menguasai 80 kerusi, manakala DAP hanya dua.

Apabila Chong digantung, tinggal Violet mewakili pembangkang DAP. Apabila Violet diarahkan keluar pada 20 Oktober, tiada seorang pun wakil DAP berada dalam Dewan pada hari tersebut.

Melihat kepada cara Violet senyum, beliau bagai sudah menjangka akan diarah keluar.

Beliau seolah-olah mencabar Speaker untuk berbuat demikian, apabila mempertikai tindakannya membuang kenyataan “political coward” daripada hansard.

Dan, apabila Speaker menyebutnya sebagai “biadap” – ia menjadi modal pula untuk dua pemimpin DAP ini melakukan serang balas terhadap Asfia di media sosial.

Kenapa mereka rela digantung?

Kerana mereka sedar ini adalah gelanggang terakhir untuk mereka bersuara sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 berlangsung.

Mereka sudah menjangka bila tarikh bubar dan sepanjang lima tahun lalu, mereka tidak dapat menjayakan apa-apa jua bentuk pembangunan, kerana sifat sebagai pembangkang.

Lalu naratifnya adalah menyalak kepada isu-isu tertentu, waima remeh dan memberi perspektif negatif terhadap apa-apa sahaja projek dilaksanakan kerajaan.

Mereka membayangkan bahawa mereka melakukan “semak dan imbang” waima mereka tahu kenyataan mereka mungkin silap.

Yang penting suara mereka berkumandang dan dikutip media.

Setidak-tidaknya media sosial. Itulah kemenangan sebenar, sebelum menjual naratif pembangkang perlu lebih ramai, untuk memberikan “keseimbangan kepada kerajaan.”

Ia juga akan menjadi modal dalam kempen pilihan raya selepas ini, sambil menyatakan mereka mangsa keadaan.

Mengkritik adalah satusatunya modal untuk menjadikan DAP kelihatan dalam masyarakat.

Dan, kedua-duanya perlu melakukan itu kerana mereka sendiri gagal membawa projek pembangunan kepada rakyat, waima mereka berada dalam Kerajaan Persekutuan.

Kritikan ini akan melindungi kelemahan mereka sepanjang lima tahun.

Chong turut menjadikan isu 30 peratus pemilikan bumiputera dalam projek kerajaan sebagai isu – kerana yakin ia boleh menarik pengundi Cina yang berasakan mereka ditindas.

Realitinya, kedua-dua pembangkang ini sedar mereka semakin kurang isu untuk dimainkan.

Jika sebelum ini mereka berusaha membawa naratif kemunduran dan kemiskinan, ternyata perkara itu telah ditangani dengan sebaiknya.

Justeru, tidak hairanlah mereka mencabar agar projekprojek mega seperti ART dan lapangan terbang baharu ini dihentikan atas alasan membazir.

Kerana mereka sedar, jika ia menjadi satu lagi legasi kejayaan Abang Johari – mereka akan ketandusan isu.

Dan, tidak mustahil pulang tanpa kerusi dalam PRN akan datang.

BERITA LAIN

See Chee How Mohon Sertai SUPP

KUCHING: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, hari ini mengemukakan permohonan menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sekali gus membuka

BERITA TERBARU

Rayat likun, lantang mindah ngena ART

KUCHING: Pemansang projek Transit Aliran Autonomi (ART) ukai masau duit, ku Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Iya madahka tuju projek