ARTIKEL

Kredit: FB Dr Dzulkefly Ahmad | Bernama

KKM perbaiki sistem digital dan infrastruktur hospital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan audit struktur dan digital yang menyeluruh dijalankan ke atas Hospital Ampang bagi menangani isu asas yang berpunca daripada infrastruktur fasiliti itu yang semakin menua, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam hantaran di media sosial beliau hari ini, Dzulkefly berkata KKM sedang berusaha segera untuk memastikan keadaan kembali normal dan keselamatan pesakit kekal sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Mengenai gangguan Sistem Maklumat Hospital (eHIS), Dzulkefly berkata ia disebabkan oleh ralat penyelenggaraan teknikal yang menjejaskan modul sistem.

“Pasukan teknikal sedang menjalankan penyelarasan sistem dan pengesahan integriti data.

Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) diaktifkan untuk memastikan penjagaan klinikal diteruskan secara manual tanpa gangguan,” katanya selepas lawatan ke hospital itu hari ini bagi menyelia tindakan pemulihan berkaitan cabaran sistem digital dan infrastruktur baru-baru ini.

Mengenai kapasiti diagnostik fasiliti itu, beliau berkata projek penggantian mesin imbasan CT hampir siap. Berikutan peralihan kepada model pajakan baharu, unit ini dijangka beroperasi menjelang 1 Mei.

Beliau berkata KKM sedang menyemak semula protokol perolehan bagi mengelakkan kelompangan transisi tersebut berulang pada masa hadapan.

Mengenai integriti infrastruktur hospital, beliau berkata kebocoran di kompleks bilik bedah (OT) baru-baru ini melibatkan paip air dalam sistem pengudaraan.

“Walaupun pembaikan telah diselesaikan dengan cepat, kami kini menjalankan proses pensterilan mandatori, pembersihan terminal dan audit partikel udara.

Tidak akan ada kompromi, bilik bedah hanya akan dibenarkan beroperasi semula sebaik sahaja pematuhan audit kawalan jangkitan 100 peratus,” katanya.

Dzulkefly juga merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Hospital Ampang atas dedikasi dan ketabahan mereka dalam mengharungi cabaran baru-baru ini, sekali gus mengulangi komitmen kerajaan untuk membina infrastruktur kesihatan yang berdaya tahan dan selamat untuk kesejahteraan rakyat. — Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU