BINTULU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik peluasan inisiatif Teratak Kasih Tok Nan ke Bintulu sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan HIV dan AIDS berasaskan komuniti di Sarawak susulan kejayaan pelaksanaannya di Kuching dan Miri.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pembangunan Teratak Kasih Tok Nan amat signifikan dalam membantu merapatkan jurang penyampaian perkhidmatan HIV, khususnya berdepan cabaran jarak geografi, bentuk muka bumi yang mencabar serta perbezaan tahap pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.
Menurut Hanifah, Teratak Kasih Tok Nan bukan sekadar kemudahan sokongan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha strategik negara bagi memastikan perkhidmatan pencegahan, rawatan dan sokongan HIV dapat diakses secara lebih menyeluruh, konsisten dan berterusan oleh komuniti yang memerlukan.
“Inisiatif ini turut melengkapkan pelaksanaan pendekatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) di peringkat lapangan, khususnya dalam memastikan kumpulan berisiko dan terpinggir menerima perkhidmatan yang berkualiti, selamat serta berteraskan keperluan sebenar komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr Sim Kui Hian, di sini pada Selasa.
Hanifah berkata kekuatan Teratak Kasih Tok Nan terletak pada peranannya sebagai pemangkin kerjasama tripartit yang menghimpunkan kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan sektor korporat dalam satu kerangka tanggungjawab bersama berasaskan keperluan komuniti serta matlamat kesihatan awam jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kemampanan respons HIV nasional tidak boleh bergantung kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan perkongsian tanggungjawab yang bersepadu bagi memastikan kesinambungan intervensi pencegahan dan sokongan HIV yang inklusif serta berimpak tinggi, selari dengan hala tuju nasional untuk mengakhiri AIDS sebagai ancaman kesihatan awam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas komitmen berterusan dalam menyokong usaha pencegahan dan sokongan HIV, termasuk peruntukan RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun bagi menyokong operasi serta peluasan Teratak Kasih Tok Nan di negeri ini.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu bukan sahaja memperkukuh respons kesihatan awam berasaskan komuniti, malah menyumbang secara langsung kepada usaha mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang terkesan oleh HIV.
Untuk rekod, Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu merupakan yang ketiga di Sarawak selepas Kuching dan Miri, sekali gus memperluaskan liputan perkhidmatan sokongan HIV berasaskan komuniti di negeri ini.

