ARTIKEL

Pegawai penguat kuasa KKM memeriksa produk makanan yang dijual di sebuah pasar raya di Bahagian Mukah.

KKM serbu pasar raya, sita 1,300 produk makanan rosak, tamat tempoh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sebanyak 1,353 produk makanan bernilai RM6,682.30 dirampas dalam Operasi Pemeriksaan dan Sitaan Makanan Siri 4/2025 yang dilaksanakan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, baru-baru ini.

Operasi dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis itu diklasifikasikan sebagai Ops Perayaan sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr. Muhammad Najib Hasan @ Ahmad berkata, operasi bertujuan memastikan makanan di pasaran selamat dimakan serta mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Produk makanan yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985 disita dan dilabel oleh pegawai penguat kuasa KKM.

“Fokus pemeriksaan tertumpu kepada produk makanan berbungkus tanpa label seperti jenis makanan, nama dan alamat syarikat pengeluar, tarikh luput dan maklumat nutrisi.

Selain itu, tumpuan diberikan kepada produk dalam tin yang rosak, kemek atau berkarat, tamat tempoh serta buah-buahan dan sayur-sayuran yang layu.

“Dalam operasi ini, sebanyak 13 premis makanan telah diperiksa merangkumi kedai runcit dan pasar raya.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu produk makanan rosak dan kemek, 44 produk melepasi tarikh tamat tempoh manakala 1,308 produk lagi gagal mematuhi standard pelabelan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan Ops Label Makanan turut dilaksanakan serentak dengan operasi tersebut yang menyaksikan satu notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(j) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melibatkan kompaun berjumlah RM3,500.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan setiap produk makanan berbungkus di negara ini, termasuk produk import, mematuhi peraturan pelabelan yang ditetapkan.

“Pengimport, ejen dan penjual bertanggungjawab memastikan produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

“Semua makanan yang diproses atau dibungkus di Malaysia perlu dilabel dalam Bahasa Malaysia, manakala bagi makanan import pula, penggunaan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris adalah dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Najib mengingatkan mana-mana individu yang menyediakan, membungkus, melabel atau menjual makanan secara palsu dan mengelirukan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Makanan 1983.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sepanjang tahun 2025, sebanyak 240 premis makanan di seluruh Bahagian Mukah telah diperiksa dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM11,196.90 melibatkan 2,173 produk.

Ujarnya, dalam tempoh sama, sebanyak 41 notis kesalahan dikeluarkan melibatkan pelbagai pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan sepanjang tahun, khususnya menjelang musim perayaan bagi melindungi hak pengguna untuk mendapatkan makanan selamat dan berkhasiat.

“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama sejajar tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025, ‘Food Safety: Science in Action’ yang menekankan peranan sains dalam membentuk sistem keselamatan makanan yang kukuh,” tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan berhampiran atau menyalurkan aduan menerusi laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta portal Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha