KUCHING: Klinik Kesihatan Pekerjaan (KKP) Kota Sentosa muncul sebagai satu-satunya agensi kerajaan dari Sarawak yang menerima Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2024 di bawah kategori ‘Inovasi dan Teknologi – Sektor Awam’, baru-baru ini.
Menurut KKP Kota Sentosa dalam kenyataan hari ini, projek inovasi bertajuk “Mengoptimumkan Perkhidmatan Klinik Kesihatan Pekerjaan Menggunakan Pendekatan Lean-Kaizen” yang diketuai oleh Dr Yasoktaran Ananthan dan Suzana Minsion, diiktiraf atas kejayaan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kesihatan pekerjaan di peringkat negeri.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pada majlis rasmi yang berlangsung di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, baru-baru ini.
Kenyataan itu menyebut, pendekatan Lean-Kaizen yang diterapkan dalam projek berkenaan menekankan prinsip penambahbaikan berterusan dengan memberi tumpuan kepada pengurangan pembaziran masa dan sumber, penyeragaman proses kerja serta peningkatan kepuasan pelanggan dan staf.
Antara ciri utama inovasi ini termasuklah analisis aliran kerja bagi menghapuskan aktiviti tanpa nilai tambah, automasi dalam pengambilan sejarah kesihatan dan pelaporan pelanggan, penggunaan papan visual digital bagi pemantauan kerja secara masa nyata serta pelaksanaan Standard Work dan 5S bagi meningkatkan produktiviti.
Pelaksanaan pendekatan itu berjaya menjimatkan kos operasi, meningkatkan produktiviti serta keselamatan staf dan menjadi model rujukan kepada fasiliti kesihatan yang lain dalam memperkukuh budaya kerja.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), malah membuktikan inovasi perkhidmatan awam mampu memberi impak besar dalam sistem kesihatan pekerjaan negara.
Dr Yasoktaran dan Suzana menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan JKNS dan KKM atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan inisiatif itu serta mendedikasikan kejayaan tersebut kepada seluruh warga KKP Kota Sentosa yang komited mempertingkat mutu perkhidmatan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).




