KUALA LUMPUR: KL Wellness City bakal menjadi tuan rumah bagi perlumbaan RunFest Grand Prix 2027 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Mac dengan memperkenalkan kategori baharu Soloist 5 kilometer serta acara lari berganti-ganti pasukan SEKIDEN.
Pengarah Urusan Unikorn Events Sdn Bhd, Niklas Yong menyatakan bahawa kategori Soloist 5 kilometer diperkenalkan susulan permintaan tinggi daripada peserta untuk persaingan individu selepas penganjuran sulung KL RunFest pada 2025.

Menurut Niklas, perlumbaan tersebut bersifat kompetitif kerana peserta perlu mara ke peringkat separuh akhir dan akhir berdasarkan catatan masa pusingan terpantas, manakala acara SEKIDEN pula melibatkan pasukan tiga orang dengan sasaran penyertaan kira-kira 500 pasukan.
Pengarah Eksekutif Penjenamaan, Jualan dan Pemasaran KL Wellness City, Datuk Seri Dr Vincent Tiew menjelaskan bahawa penganjuran acara ini selari dengan visi bandar raya tersebut dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan komuniti melalui pelbagai aktiviti di RunFest Village.

Orang ramai boleh mendaftar bagi acara yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM13,500 itu mulai 7 Oktober ini melalui saluran rasmi RunFest dan Unikorn Events Sdn Bhd seperti dilapor Bernama.



