Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal menganjurkan Kuching Lights & Floral Festival (KLFF) 2026 dan LUNA Lights Wonderland di Taman Botani Kuching bermula 26 Ogos ini.
Menurut DBKU, kedua-dua acara itu merupakan tarikan berbeza meskipun berlangsung di lokasi yang sama, dengan perbezaan utama melibatkan tempoh penganjuran serta kadar kemasukan.


KLFF 2026 akan berlangsung dari 26 Ogos hingga 16 September dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.
Sementara itu, LUNA Lights Wonderland pula akan berlangsung lebih lama iaitu dari 26 Ogos hingga 27 September dengan bayaran masuk RM15 bagi dewasa dan RM8 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, manakala orang kurang upaya (OKU) diberikan kemasukan percuma.
DBKU dalam kenyataan memaklumkan, penjelasan berhubung perbezaan kedua-dua tarikan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai, khususnya berkaitan tempoh penganjuran dan kadar kemasukan.


Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bersama-sama keluarga serta rakan-rakan bagi memeriahkan KLFF 2026 dan menikmati pelbagai tarikan yang disediakan menerusi LUNA Lights Wonderland.
DBKU turut mengalu-alukan kehadiran warga bandar raya, pengunjung dari dalam dan luar Kuching serta pelancong untuk menikmati kemeriahan yang bakal mewarnai Taman Botani Kuching sepanjang penganjuran kedua-dua acara berkenaan.



