ARTIKEL

Klinik Julau dan empat sekolah baharu terus jadi keutamaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Pembinaan Klinik Julau, empat sekolah baharu bagi menggantikan sekolah usang, balai bomba, projek bekalan air bersih, Jalan Mujok serta usaha memperluaskan liputan internet terus menjadi fokus utama pembangunan di Julau, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Beliau berkata, semua projek berimpak tinggi itu akan terus diperjuangkan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat walaupun landskap politik negara kini semakin sukar diramal.

Menurutnya, projek berskala besar memerlukan sokongan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Justeru, beliau akan terus membawa suara serta keperluan rakyat Julau ke peringkat Parlimen bagi memastikan agenda pembangunan kawasan itu dapat direalisasikan.

“Saya komited untuk terus membawa kebajikan dan manfaat kepada rakyat tanpa mengira spekulasi politik. Fokus saya ialah memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Julau.

“Projek besar seperti pembinaan Klinik Julau, empat sekolah baharu bagi menggantikan sekolah usang, cadangan pembinaan balai bomba yang kini dalam proses mengenal pasti tapak sesuai, projek bekalan air bersih, pembinaan Jalan Mujok menggunakan dana Kerajaan Persekutuan serta usaha meningkatkan liputan internet memerlukan sokongan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ngiling Tikai Rumah Japar di Nanga Kemalih, pada Sabtu.

Larry berkata, beliau memilih untuk terus turun padang kerana pendekatan itu membolehkan beliau memahami sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi penduduk, selain memastikan setiap suara rakyat didengari.

“Julau merupakan kawasan yang luas. Sebab itu saya sentiasa turun bertemu rakyat untuk mendengar sendiri rintihan mereka serta mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM4 juta diperuntukkan setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh kawasan Parlimen Julau, di samping terus memanfaatkan platform Parlimen untuk memperjuangkan keperluan pembangunan kawasan itu.

Pada majlis berkenaan, Larry turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM80,400 kepada lapan penerima bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.

Penerima peruntukan itu ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Japar, JKKK Rumah Lanau di Sungai Paku Kemalih, JKKK Rumah Kedit di Sungai Buloh, JKKK Rumah Gasah di Nanga Kemalih, JKKK Rumah Jalang di Nanga Bayu, Rumah Dudom Kakup, JKKK Rumah Ukan di Bukit Kopi serta Biro Wanita Rumah Japar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU