JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, menyeru seluruh masyarakat menjadikan usaha memerangi demam denggi sebagai tanggungjawab bersama susulan peningkatan kes penyakit itu di daerah Julau sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, statistik semasa menunjukkan sebanyak 24 kes demam denggi direkodkan di daerah itu setakat tahun ini berbanding 20 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus membuktikan ancaman penyakit bawaan nyamuk Aedes masih membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

“Denggi bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan, sebaliknya tanggungjawab setiap individu. Jika terdapat tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar rumah kita, maka keluarga kita sendiri berdepan risiko dijangkiti penyakit ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Tapak Pesta Julau, di sini, hari ini.
Menurut beliau, masyarakat perlu menjadikan amalan menjaga kebersihan persekitaran sebagai budaya harian dengan meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman masing-masing.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran sekiranya mengalami simptom demam denggi seperti demam berpanjangan, sakit kepala, sakit sendi atau ruam pada badan.
“Tindakan mendapatkan rawatan awal amat penting kerana tanpa rawatan segera dan sewajarnya, demam denggi boleh menyebabkan komplikasi serius serta berisiko meragut nyawa,” tegas beliau.

Mengulas mengenai pembangunan sektor kesihatan di Julau, Datuk Larry berkata pembinaan Klinik Kesihatan Julau baharu berhampiran Pasar Julau kini sedang dilaksanakan dengan kos RM60 juta.
Beliau berkata, projek itu dijadualkan siap pada November 2028 dan dijangka menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih moden, selesa serta lengkap bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan Julau.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih berkualiti tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kerana memilih Julau sebagai tuan rumah Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Sarawak tahun ini, yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap semangat kerjasama dan perpaduan masyarakat setempat.

Beliau berkata, sambutan bertemakan Science for Solution itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya demam denggi, malah memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam membudayakan amalan hidup bersih dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan fizikal seperti jalan raya, kemudahan awam dan peluang ekonomi perlu diseimbangkan dengan tahap kesihatan rakyat kerana sesebuah masyarakat yang sihat merupakan asas kepada pembangunan mampan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pelbagai inisiatif kesihatan awam yang dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, selain mengajak masyarakat Julau menghayati semangat “Segulai Sejalai” dalam memperkukuh kerjasama bagi mewujudkan komuniti yang sihat, bersih dan bebas daripada ancaman demam denggi.
Hadir sama Dr Diana Jawa, Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Puan Irene Merang; wakil Residen Bahagian Sarikei, Dr Johnny Kelak; Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Stephen Lau Chi Sing; Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau; serta ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.



